DEBAK: Masyarakat Cina di Debak yang bakal menyambut Tahun Baru Cina diingatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan (SOP) yang ditetapkan dan menyambut perayaan kali ini secara sederhana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam menjelaskan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini mungkin tidak dapat diadakan ekoran pandemik Covid-19 yang masih belum lagi menunjukkan sebarang penurunan kes di Sarawak.
Katanya, apa yang penting, rakyat perlu sentiasa peka dan menjaga SOP bagi memastikan pandemik Covid-19 tidak terus merebak di negeri ini ketika musim perayaan.
“Ketika dilanda pandemik ini, kita tidak ada banyak pilihan kecuali terus mengamalkan SOP, dimana kemungkinana besar sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini tidak dapat diadakan supaya Covid-19 ini dapat dihapuskan secepat mungkin.
“Saya percaya jika semua pihak bekerjasama, perayaan pada tahun-tahun akan datang kembali meriah dan kita dapat hidup dalam suasana normal semula,” katanya semasa menyerahkan sumbangan limau kepada komuniti Cina yang tinggal di daerah Kecil Debak dekat sini semalam.
Razi berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan banyak aktiviti terpaksa dihadkan termasuk majlis perayaan supaya wabak dapat disekat dengan lebih berkesan tetapi ia masih dapat mengeratkan hubungan rakyat berbilang kaum.
“Kita faham bahawa rakyat masih risau kemungkinan akan wujud kluster baharu ketika aktiviti kunjung-mengunjung diadakan. Apa yang penting dalam hal ini, adalah pelaksanaan SOP dan sentiasa mengikuti arahan terkini dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Rakyat pastinya memahami situasi ini tetapi seeloknya kita semua sentiasa bertoleransi antara satu sama lain, saling ingat mengingatkan mengenai pentingnya pelaksanaan SOP,” ujarnya.
Tambah Razi, apa yang dilakukan sekarang adalah norma baharu kehidupan yang memerlukan kerjasama dan pengorbanan daripada semua meskipun tidak selesa dan kadangkala menyusahkan.
Sementara itu, Razi turut menzahirkan rasa terima kasih kepada komuniti kaum itu yang bertungkus lumus selama ini membantu melonjakkan ekonomi di pekan itu.
Dalam masa yang sama, beliau turut berbangga dengan perpaduan semua kaum khususnya di DUN Saribas dengan sentiasa saling menghormati adat dan budaya mengikut kepercayaan masing-masing.
Turut menerima sumbangan limau berkenaan warga pendidik dari SJK Chung Hua (C) Debak. Hadir sama, Temenggung Piee Alwi.
Oleh ADI SAFARMAN