PROSEDUR Operasi Standard (SOP) Hari Gawai Dayak 2021 perlu dipatuhi oleh semua penduduk di rumah panjang, tegas Penghulu Bidai Gisang.
Katanya, pada Khamis lalu, taklimat telah disampaikan oleh pejabat residen berkenaan SOP Hari Gawai Dayak 2021.
“Saya telah mengarahkan semua tuai rumah di kawasan saya untuk mengikuti SOP tersebut terutama SOP semasa upacara ‘miring’ yang dijalankan pada 1 Jun.
“Kita perlu ikut SOP Hari Gawai Dayak 2021 ini bagi menghindarkan penularan wabak pandemik Covid-19 di kawasan rumah panjang,” katanya.
Bidai berkata demikian ketika ditemu bual pemberita selepas menerima peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi rumah panjang Zon Sarikei di kawasan Kuala Rajang, pagi kelmarin.
“Setakat ini, bagi kawasan saya di Sare, saya dimaklumkan oleh tuai-tuai rumah bahawa penduduk rumah panjang mematuhi SOP.
“Saya percaya semua tuai rumah telah bermesyuarat dengan penduduk rumah panjang mereka bagi memastikan pematuhan SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkenaan cara pengendalian program mengikut SOP Hari Gawai Dayak 2021,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, beliau telah memaklumkan kepada semua tuai rumah di kawasannya supaya tidak menerima pengunjung dari luar semasa perayaan itu nanti.
“Saya juga telah menasihatkan mereka supaya tidak pergi berkunjung ‘ngabang’ atau ziarah ke rumah panjang lain bagi memastikan keselamatan diri dan penduduk rumah panjang dari wabak Covid-19.
“Semua penduduk rumah panjang mesti mengikut SOP yang telah ditetapkan,” tegasnya.
Berkenaan dengan sumbangan sempena Hari Gawai Dayak dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh, beliau berterima kasih kepada Len Talif di atas sumbangan tersebut.
“Terima kasih diatas keprihatinan beliau dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang banyak menghulurkan bantuan kepada penduduk rumah panjang.
“Bantuan ini bukan sahaja diterima bila tibanya musim perayaan, bantuan sentiasa diberikan kepada rakyat di kawasan Kuala Rajang terutamanya dari segi projek-projek pembangunan rakyat.
“Antara kemudahan infrastruktur yang disumbangkan kepada kami adalah seperti jalan, elektrik, air dan menara telekomunikasi,” katanya lagi.
Tambahnya, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, beliau mewakili rakyat dikawasannya amat menghargai bantuan tersebut.
Oleh EARL ANEK