KUCHING: Pasukan Hero Bowling yang mewakili Sarawak mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul juara keseluruhan Piala Pasukan Sarawak Hornbill (SHTC) 2025 yang melabuhkan tirai di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa, semalam.
Pasukan itu menewaskan dua pencabar pilihan iaitu Sunway Megalanes B dan Sunway Megalanes A yang akur di tempat kedua dan ketiga untuk membawa pulang hadiah lumayan RM10,000 selepas melakukan 13,542 jatuhan pin, dan mengumpul 57 mata.
Sunway Megalanes B yang menjatihlan 13,644 pin (52 mata) membawa pulang hadiah berjumlah RM5,000 selaku naib johan diikuti Sunway Megalanes A merangkul hadiah RM3,000 dengan jatuhan 13,518 (42 mata).
Sementara itu, tempat keempat dimenangi pasukan Wipers A dengan jatuhan 13,262 pin (32 mata) meraih RM1,000.
Hero Bowling dibarisi bekas remaja kebangsaan, Chong Jun Foo serta bekas atlet SUKMA, Bong Kihow, Daniel Tan Yan Han dan Melvin Gilbert Gimang.
Sementara Sunway Megalanes B dibarisi Abang Afiq Yazid Abang Azman, Musayyar Khalid, Ahmad Aidil Abdul Halim dan Lavinia Kho Jia Jie.
Pasukan Sunway Megalanes A dibarisi Matthew Ong Tzi Ming, Johnathan Chan Tian Sheng, Mohd Zharfan Shahidi @ Shaharani dan Prasert Anansathaporn.
Pasukan Wipers A pula diwalili pemain muda berbakat iaitu Muhammad Amin Syimir Safri, Muhammad Aiman Farhan Nor Fuzi, Amin Zulkarnain Zulkifli dan Muhammad Fauzal Aziem Norkamal.
“Ini adalah edisi ketiga SHTC dan kami gembira memenangi kejuaraan di bawah Hero Bowling dalam percubaan kedua kami. Kami mencapai penamat podium pada tahun lepas tetapi bermain di bawah nama pasukan lain pada tahun pertama.
“Kami bertiga Jun Foo, Daniel dan saya sendiri telah bermain bowling bersama selama lebih 10 tahun dan chemistry pasukan itu ada.
“Tahun ini, kami menjemput Melvin untuk menyertai kami selepas dia beraksi dengan baik pada Piala Sabati tahun lalu,” kata Bong Kihow semasa ditemubual selepas tamat majlis penyampaian hadiah.
Selain memenangi Baker’s 4, Hero Bowling juga memenangi kategori ‘doubles long oil pattern’, menduduki tempat kedua dalam ‘trio long oil pattern’, ketiga dalam ‘Team of 4 long oil pattern’ dan keempat dalam ‘Team of 4 short oil pattern and trios short oil pattern’.
Seterusnya, bagi Cabaran Skins, Hero Bowling memenangi Permainan 1, Permainan 5 dan Permainan 6 untuk mengumpul RM500 lagi setiap satu dengan jumlah RM1,500.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang utama disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick.
Turut menyampaikan hadiah ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak Khairul Nizam Morshidi, Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) Sunny Si Poh Heng, Timbalan Presiden ABAS Shaifulbahri Shukri dan Naib Presiden ABAS Robert Lu Nam Min.
Pemenang kategori lain adalah Baker, Trios Long Squad, Short Squad, Juara Remaja Bawah 21 Tahun, dan Youth All-Events.
Sunny Si dalam ucapan alu-aluan menzahirkan penghargaan kepada para peserta khususnya dari Brunei Darusalam yang turut serta memberikan sokongan terhadap penganjuran pertandingan yang dilaksanakan secara dwitahunan itu.
“Saya percaya, penganjuran pertandingan kali ini mampu menjadi landasan terbaik buat para pasukan bersedia menjelang kejohanan kompetitif yang lebih besar pada masa akan datang.
“Kejohanan ini sudah pasti menjadi pengalaman penting dalam langkah pasukan untuk bersedia menghadapi temasya Tenpin Boling Remaja Dunia IBF 2026 yang akan berlangsung di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa.
“Saya berharap dapat bersua semula dengan para pemain dan pasukan yang menyertai kejohanan ini di Kejuaraan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak 2025 pada September depan,” katanya.
Tambahnya, sudah pasti semua sedang bersedia menantikan acara yang paling dinanti-nantikan iaitu temasya Tenpin Boling Remaja Dunia IBF 2026 yang akan menampilkan pemain dunia belia boling yang akan berentap di sini.
Oleh Masrin Affirah