Pastikan tahap kecergasan fizikal, mental pada tahap baik

Facebook
WhatsApp
POLIS SIHAT…IPD Limbang menjayakan Amalan Gaya Hidup Sihat, larian 2.4 KM di Tasik Mas Limbang.

LIMBANG: Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, DSP Peter Junat mengetuai larian 2.4 kilometer (km) di Tasik Mas Limbang menerusi program Amalan Gaya Hidup Sihat, semalam.

Menurut beliau, tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk memastikan tahap kecergasan fizikal dan mental dalam kalangan warga IPD Limbang sentiasa berada pada tahap yang baik, demi merealisasikan cara kerja yang berkualiti dan komprehensif.

Katanya, ia bertujuan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular.

ERAT SILATURAHIM… Anggota dan pegawai IPD Limbang saling menjalin hubungan erat antara mereka dalam program kecergasan dan kesihatan.

“Memberi pendedahan yang meluas mengenai kepentingan senaman dalam kehidupan seharian bagi memastikan tubuh sentiasa sihat dan cergas, serta memperkukuhkan silaturahim dalam kalangan warga IPD Limbang.

“Selain meningkatkan metabolisme, ia juga membantu mencapai tahap kecergasan yang diinginkan, menurunkan berat badan, meningkatkan fleksibiliti, membina otot dan meningkatkan kesihatan jantung,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis serta Pegawai Awam Polis IPD Limbang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.