
SARATOK: Komunikasi yang baik di antara semua agensi yang terlibat dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan di daerah ini amatlah penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut kualiti dan masa serta bajet yang telah ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata komitmen ini amat penting untuk memastikan setiap projek yang dirancang siap dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan.
“Pada masa yang sama, semua agensi pelaksana yang terlibat perlu terus memantau projek yang telah ditawarkan kepada syarikat melalui cabutan undi agar ia boleh disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kita mahu semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam projek ini memainkan peranan masing-masing agar setiap pelan pembangunan yang dilaksanakan berjalan lancar dan mencapai matlamat pelaksanaannya.
“Melalui langkah ini, kita yakin ia mampu merancakkan lagi pembangunan di luar bandar dan merealisasikan impian kerajaan untuk merapatkan lagi jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri telah hadir ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tindakan Daerah (DAC) bagi Daerah Saratok yang telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, di sini semalam.
Turut hadir Senator Pele Peter Tinggom, ADUN Krian, Friday Belik, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas serta 31 wakil ketua jabatan Persekutuan dan negeri Sarawak.
Mengulas lanjut, Mohamad Duri menegaskan beliau sangat berharap agar semua projek rakyat yang telah dan akan dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau tidak mahu ada rungutan dan permasalahan kepada pelaksanaan projek terbabit yang akhirnya akan memberi kesan yang negatif kepada rakyat amnya.
Beliau turut menyatakan rasa terima kasih kepada semua agensi pelaksana dan juga kepada kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang begitu komited membangunkan Sarawak.
“Banyak inisiatif yang beliau laksanakan demi rakyat Sarawak, dan Daerah Saratok termasuk DUN Kalaka juga tidak terpinggir daripada menerima arus pembangunan yang pesat ini,” tambah Mohamad Duri.
Oleh Adi Safarman