SIMANGGANG: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan perlu terus kekal menjadi milik Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 ini demi kepentingan rakyat di situ untuk tempoh lima tahun akan datang.
Justeru, para ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) dalam DUN ini dimohon agar melipat gandakan usaha mereka bagi tujuan itu demi mengelak berlaku kehilangan kerusi DUN ini sesudah PRN-12 kelak kata wakil rakyatnya, Datuk Mong Dagang.
“Rakyat DUN Bukit Begunan sudah sedia maklum bahawa Kerajaan Sarawak sebelum ini pun telah pun menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman (SADA) bagi memacu proses pembangunan di kawasan mereka berbanding tahap sebelumnya.
“Atas sebab itulah, pentingnya kerusi DUN Bukit Begunan kekal menjadi milik GPS selepas PRN nanti agar demi kepentingan SADA selari dengan kemunculan Sarawak sebagai salah satu negeri termaju dalam Malaysia pada 2030 nanti,” kata beliau.
Selain itu, Mong ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Sri Aman di sini juga memohon kepada rakyat agar terus memberi mandat kepada GPS untuk memajukan hidup mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, pemberian mandat terhadap GPS adalah amat penting agar projek mega yang diumum oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dapat diteruskan selepas berakhir pilihan raya kelak.
“Pemberian mandat ini juga adalah amat penting GPS dapat terus menuntut hak Sarawak seperti kejayaan menuntut Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum bernilai RM2.95 bilion daripada Petronas sebelum ini.
“Saya berharap agar kejayaan ini akan terus memberi semangat kepada rakyat untuk terus menyokong GPS ke arah menjadikan Sarawak sebagai negeri pesat membangun dan makmur di mata orang luar pada masa akan datang,” kata Mong.
Beliau pada majlis itu juga turut memantau perlaksanaan Program Taklimat ‘Polling and Counting Agent’ N31 Bukit Begunan yang melibatkan seramai 250 orang ejen terpilih di sini.
Oleh Valentine Ngumbang