
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri turut mengarahkan KPDN untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025.
“Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.
“Selain itu, Perdana Menteri mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sekiranya terdapat gangguan bekalan,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Perdana Menteri menggesa pihak KPDN lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, termasuk barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak.
Selain itu, beliau berkata, Anwar juga mengarahkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.
“Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal,” tegasnya. – Bernama