KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup kebanyakannya rendah semalam berikutan pasaran Singapura dan Jepun ditutup bersempena cuti umum.
Peniaga berkata, pasaran turut diheret turun oleh penyusutan niaga hadapan getah Shanghai dan menurutnya, pengendali pasaran turut mengambil isyarat daripada statistik getah asli pada Jun 2020, yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan semalam.
Menurut laporan itu, pengeluaran getah asli pada Jun turun 8.9 peratus tahun ke tahun kepada 33,531 tan.
Bekalan getah asli turut merosot 12.6 peratus kepada 254,105 tan pada bulan itu berbanding 290,607 tan pada Mei 2020.
Bagaimanapun, penurunan di pasaran tempatan itu dihadkan oleh peningkatan harga minyak mentah berikutan ia menokok 1.19 peratus kepada US$44.94 setong, setakat ini.
Pada 12.00 tengah hari, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 turun 2.5 sen kepada 546 sen sekilogram, manakala susu getah pukal jatuh setengah sen kepada 470 sen sekilogram.
Pada 5.00 petang semalam, harga fizikal rujukan LGM bagi SMR 20 meningkat setengah sen kepada 546.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal rendah setengah sen kepada 469.50 sen sekilogram.- Bernama