![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_9948-1024x768.jpeg)
PELANCARAN… Dato Sri Fadillah Yusof ketika merasmikan Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2 malam tadi.
PETRA JAYA: Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2 dicadangkan sebagai produk pelancongan bagi mempromosikan kawasan tersebut kepada pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pasar malam tersebut semakin menjadi ikon bagi pengunjung yang datang ke Kuching untuk mencari juadah.
Katanya, pasar malam itu kini mempunyai tapak baharu yang lebih luas serta dilengkapi pelbagai prasarana, menjadikannya cadangan tarikan utama untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Tempat ini menjadi tarikan bagi pelancong yang berkunjung ke Kuching.
“Saya telah mencadangkan kepada pihak penganjur agar bekerjasama dengan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan untuk mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian pasar malam tersebut di Metro City di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Fadillah turut memastikan infrastruktur terus dinaik taraf untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung.
“Pertama, kita akan membina surau, diikuti dengan memagar kawasan pasar malam ini serta menyelaraskan struktur bangunan kedai agar lebih seragam dan sesuai digunakan dalam semua keadaan cuaca, sama ada hujan atau panas.
“Ini akan memberi keselesaan kepada peniaga untuk menjalankan aktiviti mereka serta membolehkan pengunjung duduk dengan selesa ketika berkunjung,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Untuk rekod, pasar malam ini yang merupakan cetusan idea Pusat Belia N6 mula beroperasi sejak Oktober 2016, sekali gus menjadi tarikan utama pengunjung hingga ke hari ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal