SIBU: Sepasang suami isteri yang dilaporkan hilang selepas tersesat di dalam hutan berhampiran Jalan Fu Kui ditemui selamat petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) memaklumkan bahawa sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan tersebut pada jam 2 petang.
“Operasi pencarian dilakukan di kawasan darat, meliputi radius dua kilometer dari kebun milik mangsa.
“Mangsa pertama, iaitu isteri, ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang pada jam 4.26 petang.
“Mangsa kedua, iaitu suami, ditemui sejam kemudian pada jarak 1.5 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua mangsa kini selamat dan telah diserahkan kepada pihak keluarga untuk dibawa pulang.