Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Pasangan kahwin campur bangga RM Corner satukan pelbagai kaum
  • RENCANA

Pasangan kahwin campur bangga RM Corner satukan pelbagai kaum

Utusan Sarawak 6 hours ago
PEMILIK Kedai RM Corner Nur Misha Yoon Abdullah, 52, (kanan) bersama suaminya Ramli Musa, 56, (kiri) kelihatan sibuk menyediakan makanan yang dipesan pelanggan ketika ditemui di kedainya di Batu Gajah, baru-baru ini. Foto Bernama

BATU GAJAH: Di awal perniagaan, kedai makan milik pasangan Melayu-Cina anak jati Batu Gajah ini jarang dikunjungi pelanggan beragama Islam disebabkan oleh muka si suami ala warga Vietnam, lantas disangka mereka menjual makanan tidak halal.

Namun, itu kisah dulu. Kini, RM Corner yang diusahakan oleh Ramli Musa, 56 dan isteri Nur Misha Yoon Abdullah, 52, menjadi tempat rakyat pelbagai bangsa dan agama duduk semeja, menikmati masakan Cina, terutamanya berasaskan mi, bihun dan kuetiau.

Mengimbau perjalanan perniagaan mereka, Ramli berkata kedai itu mula beroperasi pada 2005, iaitu sejurus selepas mereka berkahwin, namun dalam tempoh dua tahun pertama mereka sukar menarik pelanggan beragama Islam yang ragu-ragu dengan status halal makanan.

PEMILIK Kedai RM Corner Nur Misha Yoon Abdullah, 52, (tiga, kiri) bersama suaminya Ramli Musa, 56, (dua, kiri) beramah mesra bersama pelanggan yang hadir di kedai mereka di Batu Gajah, baru-baru ini. Foto Bernama

“Saya pernah dianggap sebagai pekerja asing warga Vietnam oleh pelanggan. Malah, isteri saya dipuji kerana pandai memilih ‘pekerja asing’ yang pandai memasak masakan Cina. Hingga hari ini saya akan tergelak apabila mengenangkannya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas cef di sebuah hotel tiga bintang di Ipoh, turut mendedahkan kedai mereka pernah “diserbu” oleh penguat kuasa jabatan agama Islam selepas menerima aduan mereka menjual makanan tidak halal.

“Rasanya sekitar 2010, pegawai dan penguat kuasa jabatan agama Islam datang ke premis kami kerana dikatakan menjual makanan tidak halal. Tetapi, selepas diperiksa, mereka yakin premis kami tidak seperti yang diadu dan akhirnya mereka juga turut menikmati hidangan di kedai kami,” katanya.

Menurut Ramli, hanya selepas itu barulah mereka menerima kedatangan pelanggan beragama Islam, khususnya orang Melayu.

NUR Misha Yoon Abdullah, 52, sibuk menyediakan makanan yang dipesan pelanggan ketika ditemui di kedainya di Batu Gajah, baru-baru ini. Foto Bernama

Beroperasi dari Isnin hingga Sabtu bermula 6.30 pagi hingga 2.00 petang, RM Corner menarik perhatian masyarakat melalui sosial media dan mempunyai pelanggan tetap, antaranya Ahmad Sohaimi Jamaluddin, 67.

“Di sini, kita boleh duduk semeja, Melayu, Cina dan India berbual mesra sambil menikmati sarapan. Beginilah Malaysia yang kita mahu, harmoni dan hormat-menghormati,” katanya yang suka dengan suasana di situ selain makanannya sedap.

Seorang lagi pelanggan, Y. Augustine, 68, pula berkata suasana mesra keluarga serta harga berpatutan menjadikan RM Corner pilihan utama.

“Sekarang masyarakat kita tidak kisah (duduk semeja), janji sajian yang dihidangkan sedap, harga berpatutan dan kuantiti pula berbaloi pasti orang akan berkunjung,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Steven Tiw Tee Siang yang kerap ditemukan menjamu selera di kedai itu turut memuji RM Corner sebagai simbol perpaduan yang wajar dijadikan contoh.

“Saya nampak RM Corner membawa konsep makanan bukan sekadar untuk mengisi perut, tetapi juga alat untuk menyatukan hati.

“Kebiasaannya, apabila di meja makan semua perbezaan akan lenyap dan yang tinggal hanyalah rasa hormat, kasih sayang dan kegembiraan bersama,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Ujian Allah: Rahmat yang membersihkan jiwa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.