MIRI : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak memerlukan ahli dan pemimpin yang setia kepada parti tidak kira ketika dalam keadaan susah atau senang.
Ketua Menteri merangkap Yang Di-Pertua parti PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ahli-ahli parti perlu percaya kepada asas perjuangan ketika berdepan pelbagai ujian supaya agenda untuk memajukan Sarawak dapat diteruskan.
Ahli dan pemimpin harus memperkuatkan parti dan tidak mudah kecewa atau merajuk sekiranya tidak terpilih dalam apa-apa jawatan, katanya ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara di sebuah hotel di sini, semalam.
“Pada tahun 1987, ketika kami menghadapi krisis dalaman, saya dan beberapa pemimpin lain tetap taat kepada parti PBB sementara yang lain pergi meninggalkan kami.
“Ini tidak seharusnya berlaku, kita berjuang, kita kena taat, kita dalam parti memang ada “up and down”, saya pun pernah “down, saya tidak keluar, saya taat kepada kepimpinan.
“Tidak macam segelintir ahli bila kecewa , keluar (parti). Apakah erti perjuangan sebegini?
“Dalam PBB, kita berjuang bukan untuk peribadi tetapi kita berjuang untuk masa depan Sarawak,” katanya yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Abang Johari berkata, ahli dan pemimpin parti seharusnya menyelesaikan masalah dalaman dengan baik, bukannya bertindak keluar parti.
“Saya kata sebegini dengan ikhlas kerana lihatlah apa yang berlaku di Semanjung Malaysia hari ini, bila pecah belah, buka parti baru, keluar dari parti itu buka lagi parti baru. Apa erti macam ini?.
“Kita dalam PBB, kita kerjasama dalam semangat GPS kerana parti ini wadah-wadah perjuangan mempertahankan hak orang Sarawak.
“Kalau kita ada masalah sikit-sikit, kita selesaikan dalam keluarga GPS. Begitu juga dengan PBB, saya doakan PBB akan menjadi teguh dan kita menyumbangkan apa jua fikiran dan semangat yang baik untuk masa depan anak cucu kita,” katanya.
Pada konvenysen tersebut, Abang Johari bersama pemimpin dan ahli PBB melafazkan ikrar setia yang diketuai oleh Naib Yang Di-pertua PBB merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Gerawat Gala.
Oleh Liong Chai Ling