Paris 2024: Liek Hou selangkah pertahan emas, Fareez terkandas 

Facebook
WhatsApp

PARIS: Impian peminat sukan tanah air untuk melihat dua pemain badminton para negara beraksi di final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) tidak kesampaian selepas hanya Cheah Liek Hou berjaya mara ke final hari ini.

Liek Hou mengesahkan final kedua berturut-turut di pentas Paralimpik dengan mengambil masa 47 minit menumbangkan musuh ketatnya Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 21-17 pada saingan separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena semalam, sekali gus berpeluang mempertahankan emas dimenanginya pada edisi Tokyo 2020.

Sebaliknya, rakan sepasukannya Muhammad Fareez Anuar tidak berupaya mengekalkan momentum terbaiknya ketika ini apabila tumpas kepada Suryo Nugroho juga dari Indonesia,  12-21, 21-14, 6-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Fareez akan menentang Dheva pada perlawanan merebut pingat gangsa hari ini.

Berdasarkan rekod pertemuan, Liek Hou yang juga pemain nombor satu dunia dan pilihan utama temasya memiliki kelebihan ke atas Nugroho hari ini apabila menang 13 kali termasuk kemenangan 21-10, 21-13 pada aksi terakhir Kumpulan A di sini, kelmarin.

Fareez yang membuat kemunculan pertama di pentas Paralimpik pula pernah menewaskan  Dheva dua kali dalam enam pertemuan termasuk kejutan ke atas lawan nombor tiga dunia itu 14-21, 21-19, 21-19, dalam Kumpulan B di sini.

Selain kemenangan ke atas Dheva, Fareez juga mengejutkan pilihan kedua dari Taiwan, Fang Jen-Yu 21-14, 21-18 dan menutup kempen Kumpulan B dengan mengatasi wakil Jepun, Taiyo Imai 17-21, 21-17, 21-17.– BERNAMA

Gambar

Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou di Paralimpik Paris, manakala Muhammad Fareez Anuar (kanan).

– Foto BERNAMA

Zidane mulakan tugas dalam era baharu Perancis

PARIS, Perancis: Zinedine Zidane bertahun-tahun menanti peluang untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Perancis dan pada Jumaat ini, pengganti Didier Deschamps sebagai

Sesko tarik diri daripada skuad Slovenia

LONDON, United Kingdom: Penyerang Manchester United, Benjamin Sesko, menarik diri daripada skuad Slovenia bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA selepas tidak