PETRA JAYA: Stadium Perpaduan di sini, bergema dengan sorakan semangat dan kegembiraan ketika temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 dirasmikan dalam suasana penuh warna-warni.
Dihadiri oleh 3,000 penyokong, para atlet, serta tetamu kehormat, temasya ini bukan sekadar pertembungan untuk meraih pingat, tetapi sebuah perayaan keberanian, ketabahan dan semangat perpaduan.
Antara tetamu kehormat yang bakal menghadiri acara perasmian ini adalah Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof serta isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir.
Perasmian dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen dari semua negeri, yang dihiasi dengan pelbagai warna-warna ceria dan bendera negeri masing-masing.
Setiap kontinjen disambut dengan tepukan gemuruh dari penonton yang memenuhi stadium. Walaupun ramai daripada atlet ini berdepan cabaran fizikal, kegigihan dan senyuman di wajah mereka jelas mencerminkan azam yang tidak pernah pudar.
Majlis ini turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Sarawak yang memukau, memperlihatkan kekayaan warisan dan kepelbagaian budaya negeri ini.
Di celah-celah persembahan, wajah-wajah atlet Para SUKMA tidak dapat disembunyikan kegembiraannya. Ada yang berkerusi roda, ada yang menggunakan tongkat, namun semuanya bersatu di bawah semangat persaudaraan dan persaingan sihat.
Upacara menyalakan obor Para SUKMA, yang dilakukan oleh atlet para angkat berat kebangsaan, Bonnie Bunyau simbolik kepada semangat yang membara dalam setiap peserta temasya ini.
Dengan nyalaan api obor, temasya ini secara rasmi bermula, membuka lembaran baharu bagi sukan paralimpik negara.
Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian dari artis terkenal seperti Hafiz Suip, Bob Yusuf, Firdaus Materang dan Zeppo Youngsters.
Sebanyak 10 lokasi pertandingan, bakal menjadi pentas untuk para wira ini menonjolkan kehebatan mereka.
Dari atlet trek dan padang hingga ke renang, boling padang dan banyak lagi , Para SUKMA 2024 menjanjikan aksi yang akan menginspirasikan seluruh negara.
Dengan suasana penuh harapan dan inspirasi, Para SUKMA 2024 bukan sahaja menjadi simbol kekuatan fizikal dan mental tetapi juga bukti nyata bahawa sukan adalah platform untuk semua, tanpa mengira keterbatasan.
Untuk makluman, sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan dalam temasya ini, iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, angkat berat, memanah, dan catur, membabitkan 328 acara sehingga 28 September ini.
Seramai 1,290 atlet yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet wanita terlibat dalam temasya kali ini, dengan Sarawak akan diwakili 143 atlet lelaki dan 70 atlet wanita.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan NEENATUL AIZAL