KUCHING: Skuad para powerlifting tuan rumah menamatkan aksi dengan gemilang apabila mencapai sasaran dengan meraih 13 pingat emas, sekali gus menutup tirai Para SUKMA XXI Sarawak 2024 dengan kejayaan luar biasa.
Jurulatih pasukan para powerlifting Sarawak, Jamil Adam, melahirkan rasa bangga dengan pencapaian atletnya selepas kontinjen Sarawak berjaya meraih 13 emas, satu perak dan empat gangsa.
Menurutnya, pencapaian ini melebihi jangkaan awal yang diberikan kepada pasukan, malah menunjukkan peningkatan drastik dalam prestasi para atlet.
“Saya lihat pencapaian kontinjen Sarawak melebihi jangkaan yang diberikan. Selain itu, saya dapat lihat peningkatan ketara dalam prestasi atlet dan juga program yang dijalankan.
“Mereka bukan sahaja menunjukkan prestasi baik, malah ada yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yang juga jurulatih para powerlifting negara menjelaskan bahawa prestasi para atlet menunjukkan potensi yang besar untuk berjaya di peringkat antarabangsa terutamanya pada Sukan Para Asia Tenggara (ASEAN) 2026 di Thailand.
Jamil turut menekankan bahawa pentingnya menjaga kebajikan para atlet dan memastikan mereka diberi pendedahan pada pertandingan berkualiti tinggi.
“Bagi saya, peluang untuk kami cemerlang di peringkat antarabangsa ada tetapi kita perlu menjaga kebajikan atlet yang beraksi cemerlang di sini.
“Antaranya ialah memberi mereka pendedahan dalam pertandingan yang baik, dan mungkin membawa sebahagian daripada mereka ke program kebangsaan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Jamil yakin Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu negeri yang unggul dalam sukan powerlifting para di Malaysia.
Selain itu, beliau turut yakin bahawa masa depan Sarawak dalam sukan ini sangat cerah di peringkat antarabangsa.
Oleh Mohd Neenatul Aizal