KUCHING: Prestasi memberangsangkan atlet skuad Boccia Sarawak pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 membuka peluang cerah kepada skuad itu untuk mewakili negara pada Sukan Para Asean kelak.
Jurulatih Skuad Boccia Sarawak, Vencent Teri berkata, dengan meraih dua pingat emas setakat ini, para atlet terbukti memberi terbaik dalam usaha mencapai sasaran tiga pingat emas secara keseluruhannya.
“Sekiranya para atlet mengekalkan prestasi seperti ini, ia akan menyediakan peluang kepada Skuad Boccia Sarawak mewakili Malaysia dalam sukan Para ASEAN kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi penyampaian pingat kepada para pemenang di Dewan Persatuan Bola Keranjang Sarawak di sini, hari ini.
Majlis penyampaian pingat telah disempurnakan oleh isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan perancangan lanjut pihaknya bagi memantapkan lagi atlet boccia Sarawak, Vincent berkata akan mengekalkan momentum latihan pada masa ini.
Jelasnya, momentum latihan yang dilakukan pada masa ini sudah sebati dengan atlet para boccia sekali gus memastikan kesihatan emosi serta mental mereka berada dalam keadaan baik.
”Jumlah masa latihan yang diperuntukkan pada masa ini adalah mencukupi kerana kita khuatir sekiranya ditambah, ia akan meletihkan mereka (atlet) dari segi mental.
”Kita juga perlu menjaga kesihatan mereka dari segi emosi kerana mereka cepat penat dan cepat merasa bosan. Masa latihan yang terlalu lama akan menjejaskan fokus dan prestasi mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Vincent memberitahu majoriti atlet pada Para SUKMA ini akan kekal bertanding pada para SUKMA yang akan datang memandangkan umur mereka masih di bawah 35 tahun pada masa itu.
Oleh Rynna Sha’erra