PETRA JAYA: Keadaan kesihatan yang kurang memberansangkan tidak menjadi penghadang buat jaguh rejam lembing, Jamal Nasir Zulkiplis, 43, menuai emas dalam kategori F55 (kecacatan fizikal – kerusi roda), hari ini.
Lebih manis lagi, anak Sarawak dari Kota Samarahan itu turut menghadiahkan kejayaan berganda apabila berjaya mencipta rekod baharu pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 kali ini dengan jarak 21.09 meter.
Jamal berjaya memecahkan rekod Mohd Shaari Mohd Jaafar dari Melaka (20.97 meter) pada temasya Para SUKMA 2022.
“Saya dedikasikan emas ini buat Sarawak Bumi Kenyalang dan juga keluarga tercinta.
“Pada awalnya, saya agak risau memandangkan saya berasa kurang sihat, namun catatan rekod baharu ini menunjukkan keazaman saya untuk berjuang bersungguh-sungguh demi negeri tercinta,” katanya.
Menerusi kemenangan tersebut, bapa kepada tiga anak ini sekali lagi menjadi bukti nyata bahawa usaha secara konsisten tidak pernah mengkhianati hasil.
Jamal ketika ditemui pemberita memberitahu beliau memperuntukkan dua jam sehari untuk menjalani latihan.
“Saya menjalani latihan secara konsisten sejak 2022 dengan memperuntukkan dua jam sehari bagi menjalani latihan.
“Untuk Para SUKMA 2024 ini, saya menyertai tiga acara iaitu rejam lembing, lontar peluru dan lempar cakera.
“Jadi, setiap minggu latihan yang saya jalani akan digilir, misalnya minggu ini khas untuk latihan rejam lembing, minggu depan lempar cakera, seterusnya lontar peluru,” jelasnya.
Mengimbau kembali detik yang mengubah hidupnya 360 darjah apabila lumpuh separuh badan pada 2007 setelah mengalami kemalangan, Jamal mengakui ia menjadi titik permulaannya untuk belajar redha menerima ketentuan Tuhan.
“Tragedi itu berlaku setelah tujuh tahun saya berkahwin dan pada ketika itu saya memang sudah mempunyai tiga anak.
“Tidak mahu terus meratapi keadaan kerana saya mempunyai keluarga untuk disara, saya terus bekerja sebelum memutuskan untuk menyertai Para SUKMA,” katanya yang memberitahu pencapaian itu merupakan emas ketiga diraihnya sejak menyertai Para SUKMA dari 2014.
Jamal turut berazam untuk terus bekerja keras agar dapat menambah koleksi pingat emas buat Bumi Kenyalang pada masa akan datang.
Dalam acara bagi kategori sama, pingat perak dimenangi Muhammad Amirul Alif Abdul Raof dari Selangor dengan jarak rejaman 19.33 meter.
Sementara itu, wakil dari Sabah iaitu Samri Butak muncul sebagai pemenang pingat gangsa dengan jarak rejaman 19.04 meter.
Oleh RYNNA SHA’ERRA