KUCHING: Sebanyak tiga rekod kebangsaan dan lapan rekod kejohanan dipadamkan oleh atlet Sarawak, mencerminkan dominasi tuan rumah dalam Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 kali ini.
Sarawak bakal dinobatkan secara rasmi sebagai juara keseluruhan untuk kali ke-14 pada majlis penutup malam ini.
Apa yang menakjubkan adalah, rekod kebangsaan milik ‘Badang’ kebanggaan negara, Bonnie Bunyau Gustin turut menjadi korban.
Individu yang memadamkan rekod tersebut adalah anak jati Bumi Kenyalang dari Sebuyau, Azlan Mos, kini badang baharu Sarawak yang memperbaharui rekod kebangsaan dan kejohanan dalam acara angkat berat kategori bawah 65kg dengan angkatan 171kg, mengatasi rekod lama 170kg yang dipegang oleh Bonnie Bunyau sejak Para SUKMA 2018.
Selepas itu, abang kepada Badang negara, Bryan Junency Gustin juga tidak terlepas peluang memperagakan kehebatan apabila memperbaharui rekod kebangsaan dengan kejayaan angkatan seberat 191 kg, memadam rekod 190 kg milik Nicodemus Manggoi Moses dalam kategori lelaki bawah 88kg.
Seorang lagi atlet angkat berat iaitu Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri, berjaya memecahkan rekod kejohanan dan kebangsaan dalam kategori angkat berat wanita 45-46kg pada Para Sukma kali ini.
Pencapaian cemerlang beliau menyumbang kepada rekod baharu bagi kategori tersebut dalam acara best lift, dengan catatan angkatan tertinggi menggunakan formula koefisien khas sukan para angkat berat.
Beralih kepada acara olah raga, atlet tuan rumah, Jap Soon Hung mencipta rekod baharu dalam dua acara, iaitu lontar peluru dan lempar cakera.
Beliau meleburkan rekod kejohanannya sendiri dalam acara lempar cakera F54 dengan catatan lemparan sejauh 21.07 meter, memadam rekodnya pada Para SUKMA 2018, iaitu 20.86meter.
Pada acara lontar peluru pula, Jap Soon Hung mencatatkan rekod baharu kejohanan dengan lontaran sejauh 8.22 m, mengatasi rekod lamanya (8.18 m) pada Para SUKMA lepas.
Dalam sukan renang pula, Rusdianto Rusmadi, turut memperbaharui dua rekod kejohanan dalam acara 100m gaya kuak lentang S7/S8 dan 200m rampaian SM7/SM8.
Beliau mencatatkan masa 1 minit 18.68 saat pada acara 100m gaya kuak lentang S7/S8, manakala 2 minit 49.02 saat pada acara 200m rampaian SM7/SM8.
Hasil gandingan Rusmadi bersama tiga lagi perenang tuan rumah iaitu Fraidden Dawan, Mully Andriano dan Galang Jabai turut memperbaharui satu rekod kejohanan dalam acara 4x100m rampaian 34 mata lelaki dengan catatan masa 5 minit 31.77 saat.
Perenang berusia 25 tahun tuan rumah, Mohd Adib Iqbal Abdullah, turut memastikan namanya terukir sebagai pemegang rekod baharu kejohanan dalam acara 100m gaya kuak dada SB14 dengan catatan masa 1 minit 11.44 saat.
Oleh SHAHRUL QAIZAT