Papar nombor kecemasan di Bazar Ramadan

Facebook
WhatsApp
BERINTERAKSI… Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan apron kepada peniaga di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk lukanisman Awang Sauni. -FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran memaparkan nombor kecemasan di kawasan bazar Ramadan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang insiden.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan awal membuat panggilan kecemasan itu penting dalam menyelamatkan nyawa.

“Walaupun unit kecemasan tetap belum boleh diwujudkan di 1,292 tapak bazar di seluruh negara, paparan nombor kecemasan itu amat penting dalam menangani sebarang isu kecemasan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Presint 3, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang lelaki warga emas rebah dan meninggal dunia pada hari pertama Ramadan di Bazar Taman Seri Harapan, Baling, Kedah kelmarin.

Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Selain itu, masyarakat yang mengunjungi Bazar Ramadan diingatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga susulan cuaca panas khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak.

– BERNAMA 

JAWAB SOALAN… Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya
hari ini. -FOTO BERNAMA