SANTUBONG: Kugiran rock lagenda dari Singapura, Sweet Charity, berjaya memukau ribuan peminat dengan persembahan bertenaga mereka pada Konsert ‘Rock In The Jungle’ (RITJ) 2024 yang berlangsung di sini malam tadi.
Sweet Charity, yang dianggotai vokalis lagenda Datuk Ramli Sarip, atau lebih dikenali sebagai “Papa Rock”, mempersembahkan lagu hits mereka seperti Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah dan Hilang Gelap Terbitlah Terang.
Konsert rock yang pertama kali diadakan di tengah hutan menggabungkan seni muzik rock dan keindahan alam ini turut menampilkan kugiran rock ikonik tanah air, XPDC.
XPDC turut memukau peminat dengan persembahan penuh bertenaga menerusi lagu hits mereka seperti C.I.N.T.A, Hentian Ini dan Semangat Yang Hilang.
Pada masa sama, konsert yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak ini turut menampilkan kumpulan rock tempatan seperti JS Boys, Criss X, dan Jemson.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir bagi menyaksikan konsert rock tersebut.
Hari kedua RITJ 2024, yang berlangsung pada hari ini, akan menampilkan kugiran rock lagenda tanah air seperti Wings, Edane dan Candy.
RITJ 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula malam tadi hingga hari ini (29 Disember), dianjurkan oleh Authentic Ideas & Events Enterprise dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Tourism Malaysia.
Oleh Mohd Neenatul Aizal