
BUENOS AIRES: Presiden Argentina Javier Milei tidak akan menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia antara negaranya dengan Sepanyol pada awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia) atas sebab pantang larang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketika ditanya stesen radio El Observador sama ada beliau akan ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyaksikan perlawanan di East Rutherford, New Jersey, Milei menjawab: “Tidak, sama sekali tidak.”
Beliau berkata akan mengikuti perlawanan akhir itu dari rumah seperti yang dilakukannya bagi perlawanan sebelum ini dan mengesahkan bahawa ia merupakan sebahagian daripada rutin peribadinya untuk membawa tuah kepada skuad Albiceleste.
Rutin itu turut merangkumi pemakaian jaket yang sama. Milei berkata beliau pernah menanggalkan jaket berkenaan ketika perlawanan suku akhir menentang Switzerland.
“Sebaik sahaja saya menanggalkannya, kami dibolosi satu gol. Saya memakainya semula dan tidak lagi menanggalkannya sejak itu,” katanya.
Amalan pantang larang yang dikenali sebagai cabalas merupakan sebahagian daripada budaya bola sepak Argentina bagi kebanyakan penyokong. Mereka sering menonton perlawanan di tempat yang sama atau memakai pakaian yang sama.
Milei berkata beliau akan membuka Istana Presiden Casa Rosada kepada skuad Argentina sekiranya mereka berjaya mempertahankan kejuaraan pada Ahad. “Saya akan memberi ruang sepenuhnya kepada pasukan. Saya tidak sepatutnya menjadi tumpuan dalam detik itu,” katanya sambil menegaskan bahawa ahli politik tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada sambutan kemenangan rakyat Argentina.- Bernama-dpa




