BEKENU : Pantai Peliau di sini masih belum mendapat kunjungan orang ramai pada penghujung minggu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.
Tinjauan Utusan Sarawak ke pantai itu ketika PKPP yang bermula pada 10 Jun lepas masih belum mendapati orang ramai berkunjung di sini.
Pantai Peliau terletak antara Pantai Tusan dan Pantai Bungai dan masa perjalanan dari Miri ke sini sekitar 45 minit melalui Jalan Persisir Pantai Miri-Bekenu.
Sabeh Salleh, 67 tahun seorang penduduk Kampung Gatas ketika ditemui berkata, ketika ini Pantai Peliau masih kurang pengunjung.
Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lepas ramai pengunjung ke sini dan mencari sayuran serta buah-buahan.
“Yang ramai datang ke sini pada hujung minggu adalah dari Miri dan masyarakat setempat Bekenu, Batu Niah, Lambir dan Bakong.
“Mereka berkunjung ke pantai ini untuk berkhelah dengan aktiviti masing-masing,” jelasnya.
Semasa PKP selama tiga bulan lepas, penduduk kampung menghadapi masalah untuk menjual hasil tani yang dijual di tamu di tepi pantai disebabkan kekurangan pengunjung, katanya.
Oleh Adum Liu