TANJUNG MANIS: Dahulu, Pantai Belawai di sini hanyalah sebuah pantai ‘tersembunyi’ walaupun memiliki keindahan semula jadi, keunikan dan potensi pelancongan, disebabkan ketiadaan jaringan jalan raya yang menghubungkan Tanjung Manis terus dari Sibu.
Namun semuanya berubah sejak 10 tahun lepas, apabila jalan darat antara kedua-dua kawasan berkenaan siap dibina dan potensi besar pelancongan di kawasan pantai yang memiliki pasir putih dan bersih itu dapat dihidu, sekali gus menyaksikan pelan induk pembangunan pantai itu dibangunkan.
“Dalam perancangan 10 tahun ini kita membangunkan prasarana termasuk gelanggang tenis, futsal, bilik persalinan, tandas awam dan kemudahan asas serta membangunkan tempat untuk rakyat berniaga yang baharu siap membabitkan kos RM2 juta.
“Keunikan dan keindahan alam semula jadi di Pantai Belawai ini menarik pengunjung dari luar kawasan, beribu-ribu orang datang beriadah di tempat ini terutama pada hujung minggu,” kata Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh kepada Bernama.
Len Talif berkata, Pantai Belawai yang terletak kira-kira 104 kilometer atau satu setengah jam perjalanan dari Sibu itu umpama ‘magnet’ bagi menarik pelancong yang dahagakan pemandangan dan suasana pantai terutama di bahagian tengah Sarawak.
Disebabkan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri komited membangunkan kawasan itu, misalnya menerusi peruntukan RM3 juta pada 2019 oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi projek naik taraf pantai itu semasa Majlis Penanaman Tukun Tiruan di Pantai Belawai.
Abang Johari ketika itu yang menyifatkan keindahan Pantai Belawai seindah Hawaii di Amerika Syarikat, turut mempertimbangkan cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis yang dibuka pada 2001 bagi membangunkan sektor pelancongan di situ.
Len Talif berkata, selain akses lapangan terbang, jaringan jalan raya menghubungkan Sarikei ke Tanjung Manis sepanjang 17 kilometer dengan kos RM321 juta jika siap kelak mampu memendekkan masa perjalanan dari dua setengah jam kepada 45 minit, sekali gus akan menyaksikan kedatangan lebih ramai pelancong dan melonjakkan ekonomi penduduk setempat.
Menyedari hakikat itu, Len Talif berkata pihaknya turut menggalakkan penduduk terutamanya di Kampung Jerijeh dan Kampung Belawai menyediakan inap desa untuk menampung keperluan pengunjung yang ingin bermalam di situ bagi menikmati keindahan dan beriadah di Pantai Belawai.
“Kita juga memberi latihan kepada penduduk di sini supaya mengambil peluang untuk membuat kuih-muih, menjual makanan laut yang segar seperti ikan, udang dan sebagainya, inilah persiapan kita untuk meningkatkan ekonomi tempat ini,” katanya.
Sementara itu, Ibnee Ekni yang mengusahakan Restoran & Resort Iftitah di Pantai Belawai berkata jumlah kedatangan pelancong ke pantai itu meningkat 100 peratus dengan purata kedatangan 500 pengunjung sehari selepas kerajaan memberi kelonggaran pergerakan.
“Kita pun tidak sangka sambutan luar biasa, kita punya chalet pun sudah habis ditempah hingga Januari, ia merupakan petunjuk agar saya menambah lagi chalet di sini dan mewujudkan aktiviti-aktiviti baharu yang lebih menarik seperti luncur jet dan menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV),” katanya.
Beberapa pengunjung yang ditemui Bernama turut memuji keindahan pantai itu, misalnya Elis Erwan Dy, 37, dari Daro yang pada masa sama mahu kemudahan seperti parkir ditambah selain berharap agar aktiviti seperti banana boat diwujudkan.
Nurfazlin Noh, 24, pula berharap supaya kedai makan dan tempat penginapan dapat ditambah selain aktiviti riadah melibatkan air yang boleh menambah keseronokan mereka yang berkunjung ke pantai itu.
Pantai Belawai sebelum ini turut menjadi tumpuan penganjuran pelbagai program seperti Shimano International Surfcasting Challenge Cup 2019, pertandingan memancing terbesar pernah diadakan terutama di kawasan tengah Sarawak serta berjaya menarik penyertaan dari seluruh Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Singapura.- Bernama