
KUALA LUMPUR: Pakistan mengesahkan menarik diri daripada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, bermula esok hingga 18 Mei, atas sebab keselamatan berikutan khuatir dengan ancaman serangan tentera India awal minggu ini.
Keputusan mengejut itu terpaksa dilakukan dengan berat hati oleh Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan (PSF) Noushad Ahmed Khan yang dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatangkuasa Pengelola Bersama Piala Asia ASTAF Datuk Abdul Halim Kader dan Datuk Mohd Sumali Reduan semalam.
“Noushad memaklumkan saya dan Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bahawa penarikan diri itu juga disebabkan lapangan terbang antarabangsa negaranya di Islamabad terpaksa ditutup gara-gara khuatir dengan ancaman serangan oleh tentera India.
“Enam pemain Pakistan dan jurulatih serta pengurus pasukan mereka pada mulanya dijadualkan berlepas dari lapangan terbang itu malam tadi (8 Mei) ke Kuala Lumpur,” kata Abdul Halim dalam kenyataan hari ini.
Pemain terlibat ialah Sarfaraz Rehman, Muhammad Khalid, Muhammad Shahroze Alvi, Muhammad Shahid, Aman Kumar Oad dan Aqeel Ahmed manakala pengurus, Akhtar Ali dan jurulatih, Dileep Kumar Oad.
Abdul Halim berkata jawatankuasa pengelola kejohanan menerima penarikan diri Pakistan secara terpaksa diambil (force majeure) biarpun mereka telah diundi pada majlis undian Piala Asia di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 21 April lepas.
“Kami berasa sedih dengan keputusan tersebut memandangkan Pakistan sudah memberikan komitmen dengan berbelanja agak besar untuk mengutus pasukannya ke Piala Asia ASTAF termasuk kos penerbangan.
“Pakistan juga cuba menjadikan Piala Asia ASTAF di Kuala Lumpur sebagai medan pendedahan pertandingan antarabangsa pertamanya bagi 2025 setelah tidak dapat beraksi pada Piala Dunia ISTAF di Bihar, India (20-25 Mac 2025),” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Sementara itu, Abdul Halim berkata bagi mematuhi peraturan kejohanan, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas proses undian dijalankan dianggap kalah secara percuma dan semua pasukan lawan Pakistan diberikan kemenangan 2-0 (15-0, 15-0) dalam kedudukan mata bagi acara kuadran dan regu.
Pakistan telah diundi dalam Kumpulan A acara kuadran Piala Asia bersama Vietnam, Singapura dan Korea Selatan manakala bagi kategori regu dengan Vietnam, China dan Jepun dalam Kumpulan C.
“Namun Noushad yang juga Naib Presiden ASTAF masih dapat datang ke Piala Asia ini sebagai anggota juri rayuan bersama-sama seorang pengadil wanita, Tahira Yasmeen kerana mereka secara kebetulan berlepas dari China selepas menghadiri satu kursus sukan,” kata Abdul Halim. — Bernama