
Pakistan membuka semula ruang udaranya susulan persetujuan gencatan senjata serta merta dengan India. - Foto AFP
KARACHI: Pakistan membuka semula ruang udaranya susulan persetujuan gencatan senjata serta merta dengan India, menurut Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA).
PAA berkata kini ruang udara Pakistan sudah dibuka sepenuhnya kepada semua jenis penerbangan.
Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengumumkan gencatan senjata serta merta antara kedua-dua negara berjiran itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu mula meningkat minggu ini, apabila masing-masing menuduh pihak lawan melanggar ruang udara dengan menghantar dron dan berbalas bedilan senjata.
Pakistan mendakwa India melancarkan peluru berpandu ke arah tiga pangkalan udaranya termasuk berhampiran ibu negara, Islamabad, namun kebanyakan peluru berpandu itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Pakistan.
India dan Pakistan sudah lama berdepan pertikaian mengenai wilayah Kashmir dan kini menghadapi pertempuran perang sejak Rabu lalu.
India melancarkan serangan ke dalam wilayah Pakistan terhadap apa yang didakwanya sebagai pangkalan militan dan pada masa sama, Pakistan berikrar untuk membalas serangan terbabit.
Susulan pertempuran antara dua negara terbabit, Pakistan mengambil tindakan untuk menutup ruang udaranya kepada semua jenis penerbangan sehingga esok (11 Mei).
Namun keputusan itu ditarik balik susulan kedua-dua negara hari ini sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata. – AFP