PULAU BRUIT (Daro): Kerajaan Sarawak telah melancarkan versi terbaharu Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) dalam usaha mempercepat transformasi digital di kawasan luar bandar
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata bagi pakej MySRBN (satu terabait (1TB) sebulan, kosnya adalah RM70 sahaja.
“Namun daripada jumlah RM70 ini, RM50 adalah ditanggung oleh kerajaan Sarawak (subsidi) dan pelanggan cuma perlu membayar RM20 sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan liputan baharu MySRBN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop di Kampung Betanak di sini semalam.
Ini adalah pakej yang paling berpatutan atau murah dan terjangkau berbanding dengan perkhidmatan internet yang sedia ada.
Lebih menarik lagi, pelanggan MySRBN akan terus menerima data percuma sebanyak 300 megabait (MB) setiap bulan.
Pada majlis itu, Julaihi turut menyaksikan acara pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan U Mobile.
Beliau berkata sehingga semalam seramai 431 orang di kawasan Pulau Bruit telah berdaftar untuk mendapat kemudahan MySRBN anjuran kerajaan Sarawak melalui agensinya SDEC.
Katanya, bilangan itu dijangka bertambah kerana proses dan kerja mendaftar pelanggan@ahli baharu masih diteruskan.
“Dengan pendaftaran ini juga, kerajaan Sarawak masih terus memberi secara percuma peralatan dan pemasangan peralatan yang bernilai RM1,150 sekali gus memudahkan komuniti luar bandar untuk menikmati perkhidmatan ini,” katanya.
Julaihi berkata program ini merupakan sebahagian inisiatif kerajaan Sarawak untuk meningkatkan akses komunikasi dan membawa kawasan terpencil ke dalam arus pembangunan digital negara.
Katanya, Sarawak telah menyediakan peruntukan RM2.3 bilion untuk membangunkan program saluran termasuk pembinaan 618 menara di seluruh negeri ditambah dengan 18 menara tambahan untuk memperluas liputan ke kawasan terpencil.
Turur hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol; Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Sudarmoto Osman; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh; Pengarah SKMM Sarawak, Adiman Ajem.