KAPIT: Seorang pesara paderi ditemukan maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan, lalu terjunam ke dalam parit di kawasan Tatai Kenyalang Jalan Selirik, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata mangsa maut dikenali sebagai Bangau Amping, berusia 75 tahun.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 7.15 pagi.
“Keadaan air yang sangat deras menyukarkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) untuk membuat pemeriksaan pada kenderaan tersebut. Terdapat seorang mangsa terperangkap dalam kenderaan,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Katanya, PKO menjalankan operasi menyelamat dengan bertindak memecahkan cermin kenderaan dan mengikat badan mangsa menggunakan tali untuk mengeluarkannya.
“Seorang mangsa lelaki warga emas telah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke tebing parit. Mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah selesai membuat pemantuan pada kenderaan dan didapati hanya mangsa yang menaiki kenderaan tersebut, operasi selesai pada 7.50 pagi,” katanya.