Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Padah jadi ‘transporter’ migran, individu ditahan bersama tiga warga asing di Engkilili
  • JENAYAH

Padah jadi ‘transporter’ migran, individu ditahan bersama tiga warga asing di Engkilili

Utusan Sarawak 7 hours ago
TIGA lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan oleh pasukan Petugas Khas IPD Lubok Antu dalam satu operasi bersepadu, petang semalam. Foto: IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU: Cubaan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing untuk mengelak daripada pemeriksaan polis gagal apabila mereka ditahan oleh pasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu dalam satu operasi bersepadu, petang semalam.

​Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, tangkapan tersebut dilakukan menerusi Op Pintas/Lejang yang dijalankan di sekitar kawasan Engkilili.

Kesemua suspek dikesan berada dalam sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

​Pihak polis yang bertindak pantas berjaya memintas kenderaan berkenaan selepas pemandunya dilihat memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba di suatu kawasan bagi mengelakkan pemeriksaan pegawai bertugas. Tindakan itu nyata mengundang syak wasangka pasukan operasi yang sedang berkawal.

​Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua suspek lelaki dan seorang suspek wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Keadaan ini membawa kepada penahanan serta-merta kesemua individu terbabit untuk tindakan lanjut di bawah undang-undang imigresen.

SEBANYAK 19 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang tempoh sekatan jalan raya dijalankan. Foto: IPD Lubok Antu

​

Selain tangkapan individu, polis turut merampas sebuah kenderaan beserta kunci dan sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek. Suspek berkenaan dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ atau penghantar migran bagi aktiviti kemasukan warga asing secara tidak sah di kawasan tersebut.

​Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

​Operasi bersepadu ini diketuai oleh Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Daerah, Inspektor Lion Bagih. Beliau dibantu oleh seramai 20 anggota pelbagai pangkat yang digerakkan bagi memantau kawasan-kawasan berisiko tinggi di daerah tersebut.

​Objektif utama operasi ini dilancarkan adalah untuk menurunkan kadar jenayah indeks, membanteras aktiviti pengedaran dadah, perjudian, serta maksiat. Kehadiran pihak polis secara agresif di kawasan ‘hotspot’ juga bertujuan untuk meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap keselamatan setempat.

​Dalam operasi yang berlangsung selama sekitar lima jam itu, sebanyak 115 kenderaan dan 125 individu telah diperiksa secara menyeluruh. Hasilnya, sebanyak 19 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang tempoh sekatan jalan raya dijalankan.

​IPD Lubok Antu menegaskan bahawa mereka akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa kompromi. Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam penduduk di Daerah Lubok Antu serta daerah kecil Engkilili sentiasa berada pada tahap yang terjamin.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Op Coleoptera: Ketua, ahli sindiket dadah ditahan di Miri
Next: 282 tahanan warga Indonesia dipindahkan pulang melalui Tebedu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.