MESUT Ozil menunjukkan sikap pemurahnya sekali lagi apabila mendermakan £80,000 (RM429,818) bagi membantu umat Islam yang terkesan kerana pandemik Covid-19 sepanjang Ramadan.
Agensi kebajikan Turkish Red Crescent kini boleh memberi iftar jamuan makanan bagi umat Islam berbuka puasa kepada keluarga sekitar Turki dan Syria dengan 2,000 paket dijangka didermakan.
Wakil Turkish Red Crescent, Kerem Kinik, berkata : “Di Red Crescent, kami sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan setiap hari.
“Sudah tentu, kami berterima kasih kepada rakan penderma yang pemurah hati termasuk mereka yang sentiasa mengikuti aktiviti kami. Lebih banyak sumbang, lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada golongan berkenaan.
“Terima Kasih kepada sahabat kami Mesut, kami dapat mengedarkan paket makanan untuk mereka yang memerlukan secepat yang mungkin.
Pemain kebangsaan Jerman yang menganut agama Islam dan mempunyai darah keturunan Turki itu dilaporkan membayar kos pembiayaan 1,000 kanak-kanak dan menyediakan makanan kepada 100,000 gelandangan.
Ozil antara bintang Arsenal yang memperoleh pendapat tinggi selepas ditandatangani dari Real Madrid untuk £42.5 juta (RM228 juta) enam tahun lalu.
Perancang tengah itu mencetus kontroversi minggu lalu apabila menjadi salah seorang daripada tiga pemain yang tidak mahu menerima cadangan pemotongan gaji membabitkan keseluruhan pasukan Arsenal bagi membantu kewangan pasukan yang berdepan krisis Covid-19.
Arsenal mengesahkan sebagai kelab pertama Liga Perdana yang bersetuju dengan pemotongan gaji kecuali membabitkan beberapa pemain. Ia membabitkan pemotongan sekitar 12.5 peratus sehingga Mac 2021.
Difahamkan Ozil bersetuju mengurangkan gajinya selepas impak kewangan daripada pandemik kembali reda.
Dalam pada itu, pemain daripada beberapa kelab bola sepak Itali meneruskan latihan individu ketika Itali kembali dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19.
Kerajaan Itali didesak sejak beberapa minggu lalu daripada segelintir pihak mengenai aktiviti yang mula dibenarkan oleh pemerintah apabila negara itu berusaha memulihkan ekonomi dalam menjalani kehidupan normal selepas perintah berkurung ditarik pada Isnin.
Perdana Menteri, Giuseppe Conte menarik arahan duduk di rumah kepada rakyat Itali dan membenarkan restoran untuk meneruskan perkhidmatan bawa balik minggu depan.
Namun Conte menunda pengumuman untuk memulakan musim Serie A kerana kebimbangan terhadap wabak yang menyebabkan 28,710 maut di Itali iaitu kedua tertinggi daripada Amerika Syarikat.
Conte hanya membenarkan kelab menyambung latihan pasukan pada 18 Mei ini. Beberapa daerah yang berjaya mengatasi penularan wabak berkenaan akan menggunakan ruang untuk pemain individu memulakan latihan pada Isnin.
Ia agak menjejaskan persiapan pasukan seperti Napoli di selatan dan tengah Emilia-Romagna serta sekitar Bologna dan Parma.
Pasukan berpangkalan di Rome, Lazio turut melaungkan perancangan untuk menyambung latihan individu di pusat sukan kelab berkenaan.
Namun syarat yang diedarkan oleh Sassuolo jelas bahawa tiada di antara jurulatih atau kakitangan lain akan terbabit dalam sesi itu.
Latihan dijalankan tidak lebih enam pemain dalam padang terbuka pada satu-satu masa dibenarkan dan mereka tidak ditegah menggunakan bilik persalinan sebagai langkah mengurangkan risiko penularan wabak.
Hampir semua kelab Serie A memutuskan pada Jumaat lalu untuk menamatkan musim 2019-20 selepas ia ditangguhkan sejak 9 Mac lalu dengan Juventus mendahului Lazio menerusi perbezaan satu mata.
Bagaimanapun, Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora menyatakan minggu ini bahawa peluang untuk memulakan kembali saingan bola sepak agak sukar.-AFP