PUSA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 2 Julai lalu dalam satu serangan buaya di Sungai Undai, dihentikan sepenuhnya semalam berikutan tiada sebarang petunjuk positif.
Memasuki hari kelapan SAR yang diaktifkan sejak petang 2 Julai lalu, tiada sebarang penemuan bagi menemukan jasad Sarkawi Tali, 61.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, PBK I Henry Jugah berkata, SAR dihentikan sepenuhnya pada 6.23 petang semalam, dan akan disambung semula sekiranya terdapat petunjuk baharu.
“Tiada tanda penemuan atau sebarang objek suspek mangsa oleh semua pasukan SAR setakat ini.
“Sekitar 6.00 petang semalam, satu perbincangan pasukan diketuai bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ketua kampung dan ahli keluarga mangsa telah diadakan.
“Hasil perbincangan pihak keluarga mangsa bersetuju untuk operasi SAR dihentikan sepenuhnya semalam sekitar 6.23 petang, sehingga menemui petunjuk baharu,” katanya.
Henry turut mendedahkan pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT) SFC akan melancarkan operasi penakaian dan pemindahan buaya di Sungai Undai dalam masa terdekat.
Terdahulu, seorang lelaki warga emas, Sarkawi Talip, 61, dipercayai disambar buaya ketika sedang mengikat pokok rumbia yang ditebangnya di Sungai Undai dekat Kampung Tambak di sini, petang Khamis lalu.
Mangsa ketika kejadian yang berlaku sekitar 1.00 petang itu, menjadi mangsa sang bedal ketika sedang mengikat rumbia yang turut disaksikan oleh rakannya yang berada berhampiran mangsa sebelum mereka menghubungi polis.
BBP Betong telah menerima panggilan daripada pihak Balai Polis Pusa yang memaklumkan kejadian itu sekitar 3.45 petang Khamis bagi bantuan mencari dan menyelamat mangsa.
Oleh Adi Safarman