SARIKEI: Seramai 20 pegawai dari Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sarikei digerakkan ke lapangan untuk melaksanakan Operasi Premis Bersih di premis makanan sekitar Sarikei.
Pegawai PKB Sarikei, Dr. Emmanuel Joseph Fong Tsung berkata, Operasi Premis Bersih di bawah Akta Makanan 1983 dan menguatkuasakan Peraturan 11(1b), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dijalankan bertujuan memantau pengusaha premis makanan menjalankan kewajipan masing-masing.
“Seramai 20 pegawai PKB Sarikei, dibahagikan kepada empat kumpulan menjalankan pemantauan ke atas pengusaha premis makanan memastikan pengendali makanan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapatkan vaksin anti tifoid.
“Selain itu, operasi pada kali ini akan menekankan kepada kesalahan di bawah Peraturan 33, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 berkaitan dengan kebersihan diri pengendali makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual para pemberita di PKB Sarikei, pagi tadi.
Selain itu, operasi juga bertujuan memastikan bahawa premis-premis makanan adalah sentiasa bersih, selamat dan juga untuk memastikan pengendali makanan berada pada tahap kebersihan terbaik demi menjaga kebersihan para pengguna yang mengunjungi premis-premis makanan ini.
“Saya ingin menasihatkan para pengguna supaya membuat pilihan yang baik dan pastikan premis yang dikunjungi itu adalah bersih dan juga sebelum menjamu makanan pastikan makanan yang dihidangkan adalah bersih serta selamat.
“Sentiasa mempratikkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan makanan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, pematuhan kepada peraturan-peraturan yang diperuntukan setakat ini di Sarikei amat memuaskan.
“Namun, operasi-operasi seperti ini sangat penting untuk kita meningkatkan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang sedia ada.
“Terdapat pengusaha-pengusaha yang sentiasa memberi kerjasama baik dan operasi ini amat penting untuk kita teruskan secara berkala sebagai tindakan pendidikan iaitu peringatan kepada semua pengendali makanan agar sentiasa menjaga kebersihan kendiri yang tinggi.
Tambahnya, ia penting bagi memastikan agar para pengguna yang makan di premis mereka tidak terjejas dengan kebersihan makanan yang kurang baik atau kurang memuaskan.
Oleh EARL ANEK