Operasi Perkhidmatan Doktor Udara diteruskan – Dzulkefly

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media khas berhubung insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan (KKM) yang terhempas di Long Lellang, Sarawak semalam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) akan diteruskan walaupun berlaku insiden nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak petang semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata tiada keperluan untuk menghentikan perkhidmatan berkenaan memandangkan peranannya penting dalam memastikan akses perkhidmatan kesihatan, khususnya buat komuniti di kawasan pedalaman.

“Kita akan teruskan. Tidak ada keperluan (untuk menghentikan perkhidmatan). FDS ini adalah liputan kesihatan sejagat, jadi kita akan teruskan serta memperkasanya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan  Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari.

Mengulas lanjut mengenai pengoperasian FDS, Dzulkefly berkata KKM tidak memiliki aset helikopter sendiri untuk menjalankan perkhidmatan tersebut, sebaliknya ia dilaksanakan menerusi kaedah sewaan secara kontrak yang turut merangkumi aspek penyelenggaraan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM sentiasa mengambil maklum input daripada pihak berkuasa berhubung aspek teknikal dan keselamatan penerbangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan aset helikopter untuk FDS.

Beliau turut mengesahkan bahawa petugas kesihatan yang terkorban dalam nahas helikopter itu sedang menjalankan tugas rutin FDS ketika kejadian.

Sementara itu, Dr Mahathar ketika ditanya mengenai kelulusan penerbangan bagi FDS memaklumkan setiap pergerakan pesawat mahupun helikopter perlu mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan sebelum diberikan kebenaran untuk terbang.

Beliau berkata keputusan sama ada sesuatu penerbangan dibenarkan atau sebaliknya tertakluk kepada kelulusan agensi berkaitan dan bukan di bawah bidang kuasa KKM.

“Sama ada kebenaran untuk terbang atau tidak, itu tertakluk kepada kelulusan daripada agensi-agensi berkenaan bukan di pihak KKM,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathar menjelaskan operasi FDS merangkumi beberapa komponen termasuk perkhidmatan berjadual dilaksanakan secara berkala mengikut keperluan penduduk di kawasan pedalaman serta pemindahan perubatan kecemasan (medevac) bagi membawa pesakit kritikal mendapatkan rawatan.

Beliau berkata misi medevac akan tetap diteruskan sekiranya terdapat keperluan mendesak membawa pesakit, tertakluk kepada kebenaran penerbangan selepas mengambil kira penilaian keselamatan serta keadaan cuaca semasa.

“Bagaimanapun yang terkait dengan perkhidmatan berjadual, ini pihak KKM akan tengok balik dan dari semasa ke semasa kita akan beri input kepada pasukan di lapangan,” katanya.

Seorang juruterbang dan empat petugas KKM disahkan maut selepas helikopter FDS jenis BO-105 dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak petang semalam. – Bernama