KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Sri Aman dan Daro yang masing-masing dilaporkan semalam, akan disambung hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan kebakaran pertama melibatkan hutan di kawasan Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman dengan keluasan kira-kira 50 hektar.
Menurut JBPM Sarawak daripada keluasan tersebut, kira-kira 20 hektar berjaya dipadam manakala 30 hektar lagi masih belum dipadam.
“Kebakaran kedua berlaku di Kampung Kut, Daro melibatkan kawasan seluas kira-kira 75 hektar. Sebanyak 10 hektar kawasan berjaya dipadam manakala baki 65 hektar masih belum dipadam,” menurut JBPM Sarawak.
Sarawak kini berdepan keadaan cuaca panas dan kering serta jerebu rentas sempadan, dengan 11 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pagi ini.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), kawasan berkenaan ialah Serian (189), Samarahan (170), Kuching (166), Bintulu (159), Samalaju (156), Mukah (154), Sibu (154), Sarikei (153), Sri Aman (152), Miri (137), dan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (116). – Bernama




