SRI AMAN: Lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak semalam di kebunnya di Sungai Raya, Ibol dekat Undop.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan sekitar jam 7.34 pagi, hari ini.
“Semalam, lebih kurang jam 11 pagi bertempat di Rumah Ringgit Ibol Undop mangsa dikenali, Niang Lasa, 75, telah keluar rumah dan memberitahu keluarganya dia mahu pergi ke kebun miliknya di Sungai Raya Ibol.
“Semasa keluar rumah mangsa tidak berbaju, hanya berseluar panjang dan membawa parang.
“Mangsa difahamkan menghidapi sejarah sakit jantung,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Rais berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohamad Fadhli Buyong bersama lima anggota telah bergerak ke lokasi untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Beliau berkata taklimat SAR telah disampaikan oleh ASP Leonard dari Balai Polis Sri Aman.
“Operasi pencarian dimulakan dan radius awal pencarian adalah dalam lingkungan 5 kilometer (km) persegi.
“Setakat ini, operasi pencarian masih dilakukan dan mangsa masih belum dijumpai,” katanya.
Dalam pada itu, SAR tersebut turut disertai lima anggota bomba, empat anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta 20 orang penduduk kampung.
Oleh ADI SAFARMAN