ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan lima pemandu bas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan bahan terlarang menerusi Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 April hingga semalam.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata mereka yang berumur 30 hingga 60-an didapati positif methamphetamine hasil ujian air kencing dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebelum memulakan perjalanan.
“Dua pemandu bas ditahan di sini (Terminal Bas Shahab Perdana) yang akan memulakan perjalanan ke sebelah Pantai Timur, dua pemandu dikesan di Sarawak dan seorang pemandu bas di Kota Bharu, Kelantan.
“Amat menyedihkan juga sebab (ada pemandu terbabit) dah berumur lebih 60 tahun … kita akan terus buat pemeriksaan menyeluruh pemandu-pemandu bas dan operasi bersama AADK ini akan ditingkatkan terutama pada musim perayaan ini,” katanya.
Lokman berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan pemeriksaan bas bersempena dengan HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana di sini, malam tadi.
Sementara itu, Lokman menyeru orang ramai agar membuat aduan sekiranya mengesan pemandu bas yang melanggar peraturan ditetapkan seperti menggunakan telefon bimbit ketika pemanduan.
Katanya, para penumpang boleh menyalurkan butiran pengadu, video rakaman, masa, lokasi dan kesalahan yang dilakukan melalui aplikasi MyJPJ agar tindakan dapat diambil segera termasuk memberhentikan bas berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata menerusi operasi terbabit sebanyak 163,558 kenderaan telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 1,495 kenderaan telah disita dan sejumlah 39,066 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Kesalahan terbabit katanya, antaranya termasuklah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, kesalahan teknikal, tiada insurans dan tiada lesen vokasional.
Selain itu, Lokman berkata kesalahan lain ialah memandu melebihi had laju, langgar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan.
Saman turut dikeluarkan bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar/topi keledar, pemanduan kenderaan berat di lorong laju dan memandu melebihi muatan.
“JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu yang tegar melanggar undang-undang ditetapkan, penguatkuasaan dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. – Bernama