KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan anggota Oneworld komited kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, menjadi pakatan syarikat penerbangan global yang pertama bersatu di sebalik sasaran bersama untuk mencapai neutral karbon.
Pakatan itu berkata 13 anggotanya, yang termasuk Malaysia Airlines, akan membangunkan pendekatan individu untuk mencapai sasaran melalui inisiatif seperti langkah kecekapan, pelaburan dalam bahan api penerbangan mampan dan pesawat yang lebih cekap bahan api, pengurangan sisa dan plastik sekali guna serta pengimbangan karbon.
Pengerusi Oneworld Alan Joyce, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qantas berkata komitmen syarikat ini membuktikan kepentingan yang diberikan oleh pakatan itu untuk menjadi industri yang lebih mampan.
“Walaupun menghadapi cabaran berikutan pandemik Covid-19, kami tidak melupakan tanggungjawab untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam jangka panjang dan pengumuman hari ini (semalam) mencerminkan kekuatan komitmen itu,” katanya.
Inisiatif yang telah dijalankan di kebanyakan syarikat penerbangan anggota termasuklah penggunaan bahan yang lebih mampan, pelaburan dalam pesawat yang lebih cekap bahan api dan pembangunan bahan api penerbangan yang mampan.
International Airlines Group (IAG), syarikat induk kepada syarikat penerbangan anggota British Airways dan Iberia, merupakan kumpulan syarikat penerbangan pertama di dunia yang komited kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, menurut Oneworld.
Japan Airlines dan Qantas turut mengambil langkah sama, manakala syarikat penerbangan anggota lain, Finnair, menyasarkan untuk mencapai neutral karbon menjelang 2045.
Syarikat penerbangan anggota Oneworld merancang untuk mencapai sasaran neutral karbon dalam rangka kerja alam sekitar sedia ada yang telah dipersetujui oleh kerajaan, termasuk melalui Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Kapten Izham Ismail berkata Malaysia Airlines berbangga untuk menyokong ‘inisiatif yang baik’ ini bersama dengan syarikat penerbangan anggota yang lain dalam memacu kemampanan industri penerbangan untuk jangka panjang.
“Kami berusaha untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membina legasi untuk generasi akan datang dan meningkatkan sumbangan syarikat penerbangan kami sendiri untuk usaha kemampanan global,” katanya.-Bernama