LONDON: Manchester United seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol Andre Onana yang menyelamatkan mereka daripada dibelasah lebih teruk ketika tewas 0-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Dia satu-satunya pemain United yang boleh meninggalkan Old Trafford dengan ‘mengangkat muka’ selepas berjaya mengelakkan rakan sepasukan menerima aib bukan kepalang.
Onana menyelamatkan tujuh percubaan bahaya Spurs termasuk tiga yang hampir membolosi gawangnya dan jika tidak kerana dia, Spurs mudah sahaja mendahului lima atau enam gol.
Dia juga hampir mencipta jaringan United apabila hantaran jauhnya tepat ke Marcus Rashford pada awal babak permainan.
Penjaga gol kebangsaan Cameroon itu menamatkan perlawanan dengan 45 sentuhan, 15 hantaran tepat dan enam hantaran jauh manakala tujuh aksi penyelamatan dengan lima daripadanya dalam kotak penalti.
Onana dikritik ketika United seri dengan Twente tetapi dia boleh dianggap wira selepas mengelakkan United daripada ditimpa bala lebih besar dan pengurus Erik Ten Hag perlu berterima kasih kepadanya.
Red Devils kini berada di tangga ke-12 dalam carta EPL dan ketinggalan enam mata daripada kelompok empat teratas. – AFP