
GENEVA: Lembaga Eksekutif (EB) Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meluluskan program acara dan kuota atlet bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), dengan penambahan 22 lagi acara pingat berbanding Paris 2024, umum IOC pada Rabu.
Sebanyak 351 acara pingat dimasukkan dalam program LA28 manakala kuota atlet ditetapkan seramai 10,500 orang, dengan tambahan 698 kuota lagi diperuntukkan bagi lima sukan, iaitu besbol/sofbol, kriket, ‘flag football’, lacrosse dan skuasy, yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Penganjur LA28, lapor Xinhua.
IOC turut mengumumkan bahawa semua sukan berpasukan akan mempunyai sekurang-kurangnya bilangan pasukan wanita yang sama dengan pasukan lelaki, sekali gus menjadi kali pertama dalam sejarah Olimpik.
Menurut IOC, kesaksamaan jantina menjadi pertimbangan utama dalam menentukan kuota atlet dan jumlah acara. Dalam program sukan awal, bilangan atlet wanita ialah 5,333 orang manakala atlet lelaki seramai 5,167 orang.
LA28 juga memperluaskan acara campuran dalam memanah, olahraga (4x100m lari berganti campuran), golf, gimnastik, larian-mendayung pantai dan ping pong.
Dalam acara renang, jarak 50 meter bagi kuak lentang, kuak kupu-kupu dan kuak dada akan dipertandingkan untuk kategori lelaki dan wanita.
Dalam acara mendayung, solo wanita (CW1x), solo lelaki (CM1x) dan pasangan campuran (CX2x) akan membuat penampilan sulung dalam larian pantai.
Sementara itu, bola keranjang 3×3, bilangan pasukan yang bertanding ditambah daripada lapan kepada 12 pasukan bagi setiap jantina di LA28.
Dalam sukan mendaki, acara boulder dan lead kini akan dipertandingkan sebagai acara pingat berasingan, membuka lebih banyak peluang kepada atlet.
IOC turut memaklumkan bahawa 24 daripada 31 Persekutuan Antarabangsa Olimpik mengemukakan permohonan untuk membuat perubahan dalam program acara mereka daripada Paris 2024.
Secara keseluruhan, 46 acara baharu dimohon (16 lelaki/17 wanita/13 campuran), enam daripadanya berpotensi menggantikan acara sedia ada, menjadikan jumlah bersih sebanyak 40 acara baharu dipohon. Sebanyak 772 kuota tambahan juga dipohon untuk program sukan dan acara awal melibatkan 10,500 atlet (339 lelaki/433 wanita).
IOC sebelum ini meluluskan penyertaan sukan tinju di LA28 pada Mac 2025, menjadikan keseluruhan program sukan di LA28 merangkumi 31 sukan. – Bernama