KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan sokongan bersepadu minyak dan gas (O&G) yang berpangkalan di Sarawak, Ocean Vantage Holdings Bhd (Ocean Vantage) memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia semalam pada harga 43 sen, premium 17 sen berbanding tawaran awam permulaannya (IPO) pada 26 sen sesaham.
Pada sesi pembukaan, sejumlah 12.45 juta sahamnya telah didagangkan.
Pengarah Urusan Ocean Vantage, Kenny Ronald Ngalin berkata, hasil daripada penyenaraian itu akan digunakan untuk mempercepatkan rancangan pengembangan syarikat, ia termasuk memperluaskan rangkaian perkhidmatan sokongannya untuk segmen huluan seperti perkhidmatan menyelam dalam air, perkhidmatan pengujian dan perkhidmatan pemeriksaan.
“Kami akan membangunkan kemampuan dalaman ini dan melabur dalam peralatan dan perlesenan baharu untuk menyokong pengembangan tersebut.
“Keutamaan lain bagi kami adalah memperkukuhkan kedudukan kami di segmen hiliran O&G kerana kami berhasrat memanfaatkan peluang yang wujud daripada aktiviti pembangunan di kawasan pesisir sepanjang Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya pada sidang media selepas upacara penyenaraian tersebut di sini semalam.
Minggu lepas, Ocean Vantage mengumpulkan RM21.4 juta daripada langkah IPO, yang mana sebanyak RM3.2 juta atau 15.1 peratus daripada jumlah hasil itu akan digunakan untuk memperluaskan rangkaian perkhidmatan sokongannya untuk industri huluan O&G.
“Sebanyak RM8.6 juta atau 40.2 peratus akan digunakan sebagai perbelanjaan modal untuk memperkukuhkan kemampuan pengurusan projek di segmen hiliran O&G; RM6.6 juta atau 30.7 peratus untuk modal kerja; dan RM3.0 juta atau 14.0 peratus untuk menampung perbelanjaan penyenaraian,” kata Ronald.
Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Stephen Yau Kah Tak berkata, syarikat itu optimis terhadap pasaran dan sentiasa merancang serta menyusun strategi dalam bidang yang dapat memberikan lebih banyak pulangan kepada syarikat dan pelaburnya.
Ocean Vantage adalah penyedia perkhidmatan sokongan bersepadu untuk segmen huluan dan hiliran dalam industri O&G, termasuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengurusan projek dan bekalan tenaga kerja.- Bernama