KUCHING: Titik peluh selama tiga tahun penyanyi cilik berasal dari Bangi, Selangor Nurfarina Farha Abdul Zahir menyertai pertandingan nyanyian Bintang Kecil Radio Televisyen Malaysia (RTM) berakhir dengan kenangan indah selepas dinobatkan sebagai juara Kemuncak Bintang Kecil RTM 2024.
Suaranya yang mirip penyanyi sensasi tanah air, Ernie Zakri berjaya memikat hati para juri dan penonton di Auditorium P.Ramlee RTM, Kuching.
Kejayaannya ini, menurut penyanyi cilik ‘bersuara emas’ itu, bagai pengubat kekecewaan pada edisi lepas selepas gagal menjuarainya dan akur dengan kedudukan Naib Juara.
Katanya, impian untuk menjuarai Bintang Kecil RTM ini sudah tersemat sejak kali pertama menyertainya dua tahun lalu.
“Saya berasa sangat gembira kerana akhirnya berjaya menjuarai Bintang Kecil RTM. Saya dah buat yang terbaik dan akhirnya, mencapai sasaran saya untuk menjuarainya.
“Penantian selama tiga tahun kini berakhir pada penampilan terakhir saya pada Bintang Kecil RTM,”katanya sambil menjelaskan bahawa penyertaannya pada Bintang Kecil kali ini adalah yang terakhir atas faktor had umur.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat Kemuncak Bintang Kecil RTM 2024 di Auditorium P.Ramlee RTM Kuching, di sini, malam tadi.
Farha, yang baru berusia 12 tahun memukau hadirin dengan persembahan lagu Ku Bersuara, membuktikan keupayaan vokalnya yang amat tinggi.
Lagu yang dipopularkan oleh Ernie Zakri itu dianggap sebagai satu lagu yang sangat sukar untuk dipersembahkan, kerana memerlukan keupayaan vokal yang amat tinggi, namun, keyakinan Farha dengan kebolehannya menjadi sebab pemilihan lagu tersebut.
“Ini adalah kekuatan saya, sebab itulah saya membawa lagu ini untuk ke peringkat akhir, selain itu, saya memilih lagu ini kerana minat saya terhadap Ernie Zakri.
“Saya mengambil masa lebih kurang sebulan bagi mempersiapkan diri untuk lagu ini,” jelasnya ringkas.
Dengan kemenangan ini, Farha membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM 20,000, trofi, serta sijil penyertaan.
Kemuncak Bintang Kecil RTM 2024 kali ini bukan sahaja menampilkan bakat muda dari Malaysia, malah penyanyi cilik dari tiga negara jiran turut menyertainya.
Antaranya ialah Aliyah Salam Napitulupulu dari Indonesia, Abdul Muqsith Abdul Hadie dari Brunei Darussalam dan Nur Adrianna Puteri Muhammad Irwan dari Singapura.
Bagaimanapun, ketiga-tiga penyanyi dari negara jiran ini hanya akur dengan kedudukan saguhati, yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, trofi dan sijil.
Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing dirangkul oleh Nur Ayu Raudhah Mohd Khaimi dari Negeri Sembilan dan penyanyi cilik dari Bumi Kenyalang, Mohammad Danish Rayyan Rahmad.
Pemenang tempat kedua dan ketiga ini masing-masing membawa pulang hadiah RM15,000 dan RM10,000 termasuk trofi serta sijil.
Seramai 14 penyanyi berentap pada peringkat akhir Bintang Kecil RTM malam tadi.
Oleh SHAHRUL QAIZAT