MEMBACA adalah satu amalan yang berguna untuk diterap dalam diri kita. Ini kerana amalan membaca akan dapat membantu menambah ilmu di dada lebih-lebih ketika kita kini sedang meniti era globalisasi.
Dengan kata lain, amalan membaca perlu dijadikan tabiat dalam kehidupan seharian kita. Bagaimanapun untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu tabiat baharu dalam golongan dewasa mungkin sedikit sukar untuk dilaksanakan.
Lagi pun peribahasa ada menyebut “melentur buluh biarlah daripada rebungnya,”. Ini bermakna usaha untuk mewujudkan tabiat membaca bukanlah harus dimulai daripada golongan dewasa namun barisan anak muda terutama sekali murid.
Menyedari mengenai betapa pentingnya usaha itu maka Sekolah Kebangsaan (SK) Emperoh Jambu dekat sini baru-baru ini telah pun mengadakan Mini Karnival Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) Gemilang 2022.
Mini karnival berkenaan adalah merupakan kemuncak penganjuran Program Dekad Membaca Nilam yang telah diadakan semenjak 1 Ogos lepas di sekolah tersebut.
Penyelaras programnya, Gloria Olin Noah berkata tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan warga sekolah amnya dan murid-murid sekolah khasnya bagi menyahut ‘6 Aspirasi Murid’.
Katanya sepanjang Ogos, SK Emperoh Jambu telah mengadakan pelbagai aktiviti program membaca untuk murid-murid di dalam atau luar waktu sekolah seperti pembacaan di rumah dengan kemuncak acaranya adalah penganjuran mini karnival ini.
“Program ini membolehkan pihak kami membantu para murid menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta menguasai mata pelajaran teras seperti matematik serta sains di samping memberi pengetahuan kukuh mengenai Malaysia, Asia dan dunia.
“Malah program berkenaan juga akan dapat membantu ibu bapa menyemai amalan membaca di samping membentuk budaya, tingkah laku positif nilai murni dalam kalangan anak-anak,” kata beliau.
Tambahnya lagi pelaksanaan program itu juga akan dapat mewujudkan permuafakatan dalam kalangan warga sekolah dengan masyarakat luar demi mempertingkatkan lagi penguasaan akademik anak-anak.
“Kesedaran yang rendah dalam kalangan komuniti setempat untuk menjadikan amalan membaca sebagai tabiat kehidupan akan merugikan kita dan perlu dikupas kebaikan yang diperoleh jika budaya membaca terus diamalkan,” katanya.
Sementara itu mini karnival itu katanya juga turut dijayakan dengan penglibatan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Dengan bertemakan ‘Hindari DADAH (Say NO to Drug) – Ke Arah Hidup Penuh Bermakna’, semua lapisan masyarakat terutama sekali anak-anak di sekolah katanya diajak bersama-sama membanteras penyalahgunaan dadah dan bahayanya dalam hidup mereka.
“Pihak Pustaka Negeri Sarawak juga turut membantu mengendalikan aktiviti Literasi Maklumat bersama dengan beberapa peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) dari sekolah lain yang bertindak sebagai fasilitator.
“Justeru diharap agar program ini dapat mencapai matlamat dan objektif yang dikehendaki sejajar dengan pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan 6 Aspirasi Murid di negara ini,” katanya.
Terdahulu program ini telah dipengerusikan oleh Nelson Brunnie Joslyn Panting merangkap Guru Besar SK Emperoh Jambu dan dibantu oleh Prescilla Anis Jerry selaku timbalannya, Gail Devourine (setiausaha), Marylyn Judas (timbalan setiausaha), Lydia Patrick Bebak (bendahari), Wary Sedek (timbalan bendahari).
Oleh VALENTINE NGUMBANG