SUMBANGAN NILAI BERTAMBAH BAIK… Sumbangan nilai kerja pembinaan mengikut negeri telah didominasi oleh Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sarawak berjumlah RM16.0 bilion atau mewakili 54.2 peratus daripada keseluruhan nilai kerja pembinaan. Selangor merekodkan nilai kerja pembinaan tertinggi pada suku pertama 2022 iaitu sebanyak RM6.9 bilion dan diikuti oleh Wilayah Persekutuan (RM5.8 bilion) serta Sarawak (RM3.3 bilion).
KUALA LUMPUR: Nilai kerja pembinaan bagi suku pertama 2022 terus bertambah baik pada -6.1 peratus berbanding -12.9 peratus pada suku keempat 2021 dengan jumlah RM29.5 bilion daripada RM27.6 bilion dalam suku sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi suku pertama 2022, subsektor aktiviti pertukangan khas meneruskan pertumbuhan dua digit sebanyak 24.1 peratus manakala bangunan bukan kediaman mencatat peningkatan 4.2 peratus dalam nilai kerja pembinaan.
“Pertumbuhan subsektor bangunan kediaman dan kejuruteraan awam masing-masing menguncup pada 11.9 peratus dan 15.5 peratus (suku keempat 2021: -18.2 peratus dan -20.3 peratus),” katanya dalam kenyataan susulan penerbitan Statistik Pembinaan Suku Tahunan, Suku Pertama 2022, semalam.
Pada suku pertama 2022, subsektor kejuruteraan awam kekal sebagai penyumbang utama nilai kerja pembinaan dengan bahagian sebanyak 35.1 peratus.
Subsektor bangunan bukan kediaman pula menyumbang 30.4 peratus manakala bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas masing-masing menyumbang 24.2 peratus dan 10.2 peratus.
“Laporan itu turut menyatakan bahawa sektor swasta tumbuh 3.2 peratus dan menyumbang 60.7 peratus daripada nilai kerja pembinaan (RM17.9 bilion) berbanding sektor awam yang terus bertambah baik kepada -17.6 peratus (suku keempat : -18.8 peratus) dan menyumbang 39.3 peratus daripada nilai kerja pembinaan (RM11.6 bilion),” katanya.
Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, sumbangan nilai kerja pembinaan mengikut negeri telah didominasi oleh Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sarawak yang berjumlah RM16.0 bilion atau mewakili 54.2 peratus daripada keseluruhan nilai kerja pembinaan.
“Selangor merekodkan nilai kerja pembinaan tertinggi pada suku pertama 2022 iaitu sebanyak RM6.9 bilion dan diikuti oleh Wilayah Persekutuan (RM5.8 bilion) serta Sarawak (RM3.3 bilion),” katanya. – Bernama