KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan ke arah positif minggu depan berdasarkan jangkaan pertumbuhan pengeluaran yang lebih rendah dan kadar eksport yang lebih kukuh.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata kadar pengeluaran adalah lembap dan pengeluaran yang lebih lemah berkemungkinan menyebabkan paras stok yang lebih rendah manakala permintaan eksport berdaya tahan dengan pembelian bermusim dari India menjelang perayaan Deepavali.
“Kami menjangkakan harga berada dalam lingkungan RM4,200 setan hingga RM4,400 setan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata, beberapa pembetulan harga mungkin berlaku minggu depan, selepas harga sawit seolah-olah meningkat terlalu tinggi dan terlalu cepat.
“Tumpuan akan diberikan kepada eksport Malaysia pada 1-20 dan 1-25 Oktober yang dijangka berkurangan berbanding kenaikan pada 1-15 Oktober berikutan kenaikan harga produk tunai dan penilaian berlebihan yang berterusan terhadap minyak kacang soya selama lebih sebulan sekarang.
“Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada data pengeluaran pada 1-20 Oktober daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA),” katanya.
Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, niaga hadapan MSM kebanyakannya lebih rendah menjejaki niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), jangkaan pengeluaran yang lebih lemah dan penurunan harga minyak mentah.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 susut RM67 kepada RM4,318 setan, Disember 2024 jatuh RM76 kepada RM4,274 setan dan Januari 2025 turun RM60 kepada RM4,255 setan.
Kontrak Februari 2025 turut berkurangan sebanyak RM45 kepada RM4,223 setan, Mac 2025 susut RM51 kepada RM4,189 setan manakala bulan baharu April 2025 berada pada RM4,152 setan.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 511,988 lot daripada 470,718 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 258,075 kontrak berbanding 252,079 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Oktober Selatan turun RM100 kepada RM4,380 setan pada Jumaat daripada RM4,480 setan seminggu sebelumnya. – Bernama