Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • ‘Ngiling Tikai’ Rumah Limbi Jambar perkukuh perpaduan, tutup tirai sambutan Gawai Dayak
  • Tengah
  • WILAYAH

‘Ngiling Tikai’ Rumah Limbi Jambar perkukuh perpaduan, tutup tirai sambutan Gawai Dayak

Utusan Sarawak 5 hours ago
MAJLIS ‘Ngiling Tikai’ di Rumah Limbi Jambar yang diadakan dekat sini hari ini. Foto: JKKK Rumah Limbi Jambar 


SONG: Majlis ‘Ngiling Tikai’ di Rumah Limbi Jambar berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat muafakat, sekali gus menandakan berakhirnya sambutan Gawai Dayak bagi tahun ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran kira-kira 50 pengunjung dari pelbagai kawasan termasuk Musah, Sungai Maong, Bintulu dan Sabah, memperlihatkan hubungan persaudaraan yang erat serta semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Dayak.

Dalam ucapannya, Tuai Rumah Limbi Jambar merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang hadir bagi memeriahkan sambutan tersebut dan menjadikan majlis itu lebih bermakna.

Beliau berkata, kehadiran para pengabang dari pelbagai lokasi telah menambahkan lagi kemeriahan sambutan serta memperlihatkan kekuatan hubungan kekeluargaan yang terjalin sejak sekian lama.

“Bagi pihak seluruh warga Rumah Limbi Jambar, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengabang yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama meraikan Gawai di sini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Limbi Jambar serta seluruh penduduk yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang penganjuran sambutan Gawai.

Menurutnya, semangat gotong-royong yang ditunjukkan sepanjang program ngabang dan pelbagai aktiviti Gawai menjadi bukti kekuatan perpaduan yang menjadi asas kehidupan masyarakat rumah panjang.

Katanya lagi, budaya saling membantu dan bekerjasama perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian komuniti serta kelangsungan adat dan tradisi masyarakat Dayak.

Sementara itu, Ketua Gawai, Helen Tanjung, turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk, pengunjung dan jawatankuasa yang telah memberikan sokongan padu dalam menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata setiap tanggungjawab yang diamanahkan telah dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi memastikan kelancaran program dan keselesaan semua tetamu yang hadir.

“Jika terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran ini, saya memohon maaf dan berharap semangat kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Majlis ‘Ngiling Tikai’ bukan sahaja menjadi penutup rasmi sambutan Gawai Dayak, malah berperanan sebagai platform penting dalam mengukuhkan silaturahim, perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Sokongan rakyat dorong Tiong Sii terus perjuang pembangunan Sarikei dan Meradong
Next: 3,000 pengunjung meriahkan rumah terbuka Gawai ADUN Simanggang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.