KABONG: Golongan nelayan terutama di kawasan Kampung Gerigat digalak menghasilkan pelbagai produk berasaskan sumber laut yang dilihat mampu meningkatkan pendapatan kumpulan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata ia berpotensi dibangunkan memandangkan kawasan ini amat kaya dengan hasil laut.
Katanya antara industri yang boleh diceburi termasuk menghasilkan keropok, bebola ikan, ikan masin dan pelbagai lagi produk yang boleh dieksploitasi untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Umum mengetahui, Kampung Gerigat terkenal dengan hasil tangkapan ikan pelayak (ikan pipik), ikan kurau, ikan pari, ikan bakal putih dan hitam, tuahey (tohey) selain obor-obor.
“Inisiatif ini dapat mengubah nasib nelayan kerana selain menjana pendapatan sampingan, ia juga mampu meningkatkan ekonomi, sekali gus melahirkan usahawan berjaya dalam kalangan mereka.
“Kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan sentiasa membantu dan sewajarnya golongan nelayan mengambil peluang disediakan ini,” katanya semasa melakukan tinjauan di Pusat Nelayan Kawasan Gerigat dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata golongan nelayan juga digalak untuk terlibat dalam perniagaan yang berasaskan perniagaan hiliran dalam usaha untuk menjana pendapatan sampingan.
Katanya lagi, industri perikanan bukan hanya fokus kepada menangkap ikan namun boleh dikembangkan dengan menjalankan perniagaan memproses makanan laut.
“Jadi kita mahu nelayan meningkatkan pendapatan dan menggalakkan mereka melakukan perniagaan hiliran yang sebenarnya dekat dengan mereka kerana hasil tangkapan boleh gunakan untuk proses produk makanan untuk dijual.
“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa membantu nelayan untuk menjana pendapatan sampingan untuk menaik taraf kehidupan,” ujarnya.
Dalam masa sama kata Chee Kadir, ia secara tidak langsung mampu memberikan pulangan yang lumayan dan mampu menarik golongan muda untuk terlibat dalam industri perikanan tambahan harga ikan yang semakin lumayan dari semasa ke semasa ini.
Sehubungan itu beliau mahu stigma masyarakat yang memandang negatif kerjaya sebagai nelayan perlu dikikis supaya dengan penglibatan aktif golongan belia dalam industri ini penting sebagai pelapis kepada nelayan kini.
“Oleh itu, nelayan kini perlu aktif melibatkan golongan belia untuk sama-sama berbakti dan terlibat secara langsung turun ke laut sama menangkap ikan mengikut setiap langkah dan prosedur yang betul,” tegas Chee Kadir.
Turut mengiringi beliau ialah Pengurus Pusat Nelayan Kawasan Gerigat, Stredella Romina Lynne.
Oleh ADI SAFARMAN