SERIAN: Fokus pengukuran perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tahun ini ditumpukan pada pengukuran lot individu bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut tanah tersebut.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Hasan setakat ini sebanyak 34,091 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 42,265 hektar (104,436 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Bagi kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecualilah kes tersebut telahpun diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.
“Namun begitu, sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini, permohonan baharu perlulah dikemukakan semula,” katanya pada majlis penyerahan Warta Seksyen 6 dan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Serian di Dewan Rekreasi Ranchan, di sini semalam.
Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pengukuran tanah NCR pada 2020, katanya.
Manakala Kerajaan Persekutuan baharu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta pada tahun ini.
“Pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai rizab komunal bumiputera adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan di dalam daftar tanah.
“Oleh itu, tiada lagi keraguan mengenai sempadan di antara komuniti kerana sempadan yang telah diukur, ditanda dan diplotkan di dalam pelan kadastra.
“Maklumat ini boleh diakses dan dirujuk di mana-mana Pejabat Tanah dan Survei Bahagian atau secara atas talian melalui eMap dan LASIS Mobile Apps,” tambahnya.
Jelasnya, sempadan yang jelas ini akan memudahkan pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Pemilik-pemilik tanah NCR di Sarawak janganlah khuatir, Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan hak-hak pemilik tanah ini dipelihara.
“Ini terbukti bila kita meminda Kanun Tanah Negeri baru-baru ini dengan memberi kuasa perundangan kepada Native Territorial Domain untuk memastikan semua tanah yang mempunyai hak adat Bumiputera dan tanah yang terlibat dengan hak mengguna pakai diiktiraf,” ujarnya.
Kedua-dua usaha pengukuran tanah NCR Inisiatif Baharu ini merupakan usaha berterusan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah,” tegasnya.
Sebanyak 42 Warta Rizab Komunal Bumiputra (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri yang melibatkan 40 Kampung di Daerah Serian dan Tebedu serta 202 surat hakmilik tanah di bawah seksyen 18 KTN kepada 160 pemilik tanah NCR di Kampung Petaq, Siburan telah diserahkan kepada pemiliknya pada majlis itu semalam.
Tanah di kawasan yang diwartakan itu adalah menjadi hak eksklusif kepada komuniti Bidayuh dan Iban di kawasan berkenaan sebagai tanah NCR mereka.
Oleh Nur Ain Otsman