Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Najib tarik balik rayuan berhubung tahanan di rumah, tiada alasan diberi
  • MAHKAMAH

Najib tarik balik rayuan berhubung tahanan di rumah, tiada alasan diberi

Utusan Sarawak 8 hours ago
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Susulan penarikan balik notis rayuan itu, Najib, 72, kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Mahkamah Tinggi pada asalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap beliau dan keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, petisyen Najib untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022 menyaksikan Lembaga Pengampunan memendekkan tempoh hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta.

Melalui notis Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lepas yang diperoleh media hari ini, firma guaman itu memberhentikan dan menarik balik rayuan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah berhubung kos selain tiada alasan dinyatakan.

Pada 14 April lepas, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Adilah Mohtar merekodkan notis pemberhentian itu dan membatalkan notis rayuan Najib.

Najib memohon perintah bahawa jika titah adendum berkenaan terbukti wujud, semua atau mana-mana responden hendaklah dipaksa untuk menguatkuasakannya serta-merta dan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara.

Dalam permohonan itu, Najib menamakan tujuh responden, iaitu Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia.

Pada 22 Disember 2025, Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar merit penuh kes itu menolak permohonan Najib selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincangkan atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Pada 13 Ogos 2025, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya di hadapan hakim baharu selepas menolak rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025.

Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes Najib kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.

Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Julai 2024 yang menolak permohonannya bagi mendapat kebenaran untuk mencabar kewujudan titah adendum itu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel itu membantah dan memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan Najib.

Sementara itu, Najib juga telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya bagi memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh atas dakwaan menghina mahkamah.

Surat bertarikh 9 April lepas menyatakan bahawa rayuan berkenaan telah dibatalkan daripada senarai rayuan sivil di bawah Kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Pada 4 September 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib selepas mendapati bekas perdana menteri itu gagal membuktikan kes prima facie berkaitan tindakan menghina mahkamah.

Pada 21 Mei 2025, Najib memfailkan permohonan itu terhadap Ahmad Terrirudin, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, berhubung isu titah adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.- Bernama

Continue Reading

Previous: 57 pesara fail semakan, mohon rayuan didengar semula dalam kes tunggakan pelarasan pencen
Next: Bekas pengarah syarikat telekomunikasi didakwa kemuka dokumen palsu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.