
PUTRAJAYA: Sekumpulan 57 pesara memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan serta pendengaran semula rayuan mereka berhubung tunggakan pelarasan pencen berjumlah RM1.7 bilion.
Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu ketika dihubungi mengesahkan bahawa permohonan semakan tersebut telah difailkan.
Menurut notis usul difailkan pada 10 April lepas dan diperoleh oleh Bernama, kumpulan pesara itu memohon Mahkamah Rayuan untuk menyemak semula keputusan terdahulu yang mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi.
Perintah tersebut mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta kerajaan untuk membayar tunggakan pencen berjumlah RM1.7 bilion kepada 531,976 pesara.
Bayaran tersebut sepatutnya dikira berdasarkan gaji akhir mereka mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016.
Mereka juga memohon agar rayuan mereka didengar semula di hadapan panel hakim yang berbeza.
Kumpulan pesara itu mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 9 Mac lepas itu, wajar diketepikan kerana ia dibuat dalam keadaan menimbulkan risiko sebenar berlakunya berat sebelah, sekali gus melanggar prinsip keadilan asasi dan menjadikan keputusan tersebut tidak selamat.
Pengurusan kes bagi permohonan semakan itu ditetapkan pada 28 April ini.
Pada 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (PAA) pada 2013 adalah tidak berperlembagaan kerana dianggap kurang memihak kepada pesara berbanding sebelumnya.
Kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam memperoleh kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan tersebut, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Aminah Ahmad kemudian memfailkan semakan kehakiman atas kapasiti peribadi serta bagi pihak 56 pesara penjawat awam lain bagi memohon supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan meyelaraskan pencen mereka berdasarkan formula sebelum 2013 di bawah PAA.
Pada 16 Januari 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh (kini hakim Mahkamah Rayuan), membenarkan semakan kehakiman tersebut dan mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta kerajaan membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh Ketua Pengarah Perkhidamatan Awam dan kerajaan.
Kumpulan pesara itu turut memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. – Bernama