Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Najib dibenarkan hadir mahkamah ikuti prosiding rayuan saman Tommy Thomas
  • JENAYAH

Najib dibenarkan hadir mahkamah ikuti prosiding rayuan saman Tommy Thomas

Utusan Sarawak 2 years ago

PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, dibenarkan hadir ke mahkamah esok untuk mengikuti prosiding rayuan yang berkaitan dengan samannya terhadap bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas kerana didakwa melakukan penyelewengan dalam jawatan awam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan ex-parte Najib untuk pihak penjara membawanya ke Mahkamah Rayuan esok bagi mengikuti prosiding mahkamah.

Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu mahkamah bahawa kehadiran bekas Perdana Menteri itu ke mahkamah adalah penting bagi membolehkan peguambela mendapat arahan yang sewajarnya daripadanya (Najib) berhubung rayuan itu.

Beliau juga berkata Najib mempunyai hak sebagai seorang yang menfailkan saman itu, untuk menghadiri prosiding di mahkamah esok.

Najib, 69, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua peguam daripada mewakili Tommy Thomas dalam saman Najib terhadap bekas peguam negara itu.

Najib mendakwa pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung bagi mewakili Thomas adalah tidak sesuai kerana mereka adalah dari firma yang sama dengan Thomas.

Menurut pernyataan tuntutan dalam samannya, Najib berkata beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company, salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Thomas merupakan peguam negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.

Najib menuntut satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

Pada 25 November lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib, dan bekas perdana menteri itu kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 22 Disember lepas.

Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Oktober untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan samannya terhadap Thomas.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd. – Bernama

Continue Reading

Previous: Penganggur dipenjara satu tahun lakukan khianat
Next: Mangsa tipu dalam talian alami trauma, jejas kesihatan mental

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.