LIMBANG: Nilai Aset Bersih (NAB) tabung Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB) tetap kekal berada di atas paras RM1.00 setiap unit sejak pelaksanaan penstrukturan semula.
Ketua Jabatan Pemasaran dan Operasi ASSB, Kadari Abang berkata NAB itu kekal walaupun selepas dua kali pengagihan dividen untuk tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2024 iaitu dividen interim sebanyak 2.5 sen setiap unit pada Januari 2024 dan dividen akhir sebanyak 3.5 sen setiap unit pada Julai 2024.
“Di samping itu, Tabung Amanah Saham Sarawak (ASSAR) juga telah mengekalkan ciri jaminan harga minimum RM1.00, yang melindungi nilai pelabur pada harga belian balik minimum RM1.00 sepanjang tempoh jaminan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pasukan ASSB baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, di Pejabat Daerah Limbang bersempena Program Taklimat Pasca Penstrukturan Tabung ASSAR.
Kunjungan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan kerjasama antara ASSB dan Pejabat Daerah Limbang.
Dalam pertemuan itu, Kadari turut menyampaikan penghargaan kepada Pejabat Daerah Limbang atas sokongan dan bantuan dalam menjayakan program tersebut.
Menurut Kadari dalam kenyataan media itu, taklimat Pasca Penstrukturan Tabung ASSAR di Limbang adalah siri keempat selepas Miri, Sibu, dan Bintulu.
Ia telah dihadiri oleh 47 pemimpin komuniti tempatan termasuk pemanca, penghulu dan ketua kaum.
“Tujuan penganjuran taklimat tersebut adalah bagi menyampaikan maklumat terkini tentang penstrukturan semula tabung ASSAR, manfaatnya kepada pelabur, dan impaknya kepada komuniti Bumiputera Sarawak.
“Selain itu, sesi tersebut juga menjadi platfom untuk mendapatkan pandangan serta cadangan daripada pemimpin masyarakat setempat,” katanya.
ASSB juga ingin menyeru pelabur ASSAR khasnya di Daerah Limbang dan di seluruh Sarawak amnya, untukmengemaskinikan maklumat penting seperti alamat surat-menyurat, nombor telefon, e-mel dan sebagainya melalui borang kemas kini yang tersedia di kaunter perkhidmatanASSAR atau mereka boleh menghubungi pejabat ASSAR di 082-231433 atau 019-3461433, atau melalui e-mel melalui emel assar@assar.com.my.